Ketua Pengarah Maritim Malaysia menerima pangkat Laksamana Maritim
PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah secara rasmi telah menerima pemakaian pangkat Laksamana Maritim berkuatkuasa hari ini.
Upacara pemakaian pangkat telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam satu majlis ringkas di pejabat beliau di Kementerian Dalam Negeri.
Dalam pada itu Mohd Rosli berkata, pemakaian pangkat beliau itu mencerminkan pengiktirafan tertinggi KDN kepada beliau di sepanjang kerjayanya dalam Perkhidmatan Awam dan sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai
Ketua Pengarah agensi ini dengan membawa reformasi kepada perkhidmatan dan pengoperasian Maritim Malaysia.
“Teras Tujuh yang saya perkenalkan selepas dilantik memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia diharap akan memperkasakan Maritim Malaysia dan terus cemerlang seiring visi Maritim Malaysia untuk menjadi agensi penguatkuasaan maritim terbaik di dunia menjelang 2040.
“Penganugerahan pangkat ini adalah amanah besar yang akan saya pegang dengan penuh tanggungjawab demi kemajuan Maritim Malaysia.
“Saya bertekad untuk terus memperkukuhkan keupayaan operasi Maritim Malaysia dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan perairan negara, sekaligus membina kepercayaan rakyat terhadap agensi ini,” katanya.
Pada masa sama beliau juga menyatakan komitmen untuk terus menjalankan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan keupayaan Maritim Malaysia dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks di perairan negara.
Mohd Rosli merupakan Ketua Pengarah Maritim Malaysia ketujuh selepas dilantik pada 17 September lalu.
Beliau sebelum ini merupakan Pemangku
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune