Berita SemasaDalam Negeri

KDN akan tempatkan anggota polis di kuarters kosong milik KPM

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) merancang untuk menempatkan kira-kira 9,000 anggota polis yang belum mendapat kemudahan kediaman kerajaan di kuarters kosong milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan KPM untuk melaksanakan inisiatif tersebut dan berharap langkah itu dijangka dapat direalisasikan pada suku pertama tahun depan.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, dimaklumkan bahawa KPM memiliki 17,000 unit kuarters guru yang tidak berpenghuni. Pada masa yang sama, terdapat kira-kira 9,000 anggota polis yang masih belum mempunyai kuarters.

“Jadi, tindakan yang betul ialah mengadakan perbincangan dengan KPM untuk melihat sama ada lebihan kuarters yang tidak didiami itu boleh digunakan oleh anggota polis,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menerusi jawapan bertulis di Parlimen, memaklumkan bahawa KPM telah menawarkan kuarters guru yang tidak berpenghuni kepada agensi kerajaan lain untuk dimanfaatkan.

Contohnya, kuarters bertingkat di Sekolah Kebangsaan Utan Aji, Kangar, Perlis, telah dicadangkan untuk kegunaan pihak lain.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, KDN sedia untuk mencari peruntukan bagi menampung kos membaik pulih kuarters terbabit agar dapat didiami oleh anggota polis serta keluarga mereka.

“Soal dana, kita akan usaha cari, tetapi yang penting, masalah kekurangan kuarters untuk anggota polis dapat diselesaikan.

“Ini akan memberi impak besar kepada kehidupan mereka, terutamanya bagi konstabel, lans korporal atau sarjan yang memerlukan tempat tinggal,” tambahnya.

Langkah itu katanya diharapkan dapat meningkatkan kesejahteraan anggota polis dan memperkukuhkan penyediaan kemudahan kediaman untuk penjawat awam di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button