![](https://i0.wp.com/malaysiatribune.news/wp-content/uploads/2024/12/20241212_112129.jpg?resize=780%2C470&ssl=1)
IMDEC 2024 pacu teknologi perubatan Malaysia ke persada dunia
KUALA LUMPUR – Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini berjaya menonjolkan keupayaan Malaysia dalam industri peranti perubatan, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara di peringkat global.
Majlis penutupan IMDEC disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menyampaikan anugerah pencapaian seumur hidup kepada dua tokoh terkemuka dalam bidang penyelidikan dan pembangunan peranti perubatan.
Anugerah tersebut diberikan kepada Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Vista Robotic, Roy Chin dan Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya, Profesor Ir. Dr. Fatimah Ibrahim.
Anwar berkata, kepentingan industri peranti perubatan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sistem penjagaan kesihatan negara.
“Industri itu telah menyumbang RM18 bilion kepada ekonomi negara pada 2023, selain menyediakan lebih 95,000 peluang pekerjaan. Malaysia juga memenuhi 60 peratus permintaan dunia untuk sarung tangan perubatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, nilai eksport peranti perubatan negara mencatat RM28.2 bilion pada tahun 2023.
“Sehingga September 2024, jumlah itu meningkat 30 peratus kepada RM27.2 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
“IMDEC 2024 yang bertema ‘Meledakkan Kuasa Teknologi Perubatan, Membentuk Masa Depan Penjagaan Kesihatan’ menarik lebih 600 delegasi antarabangsa dan 10,000 pengunjung daripada pelbagai sektor.
“Ia menjadi platform penting untuk membincangkan cabaran industri, berkongsi pengetahuan dan meneroka inovasi baharu dalam teknologi penjagaan kesihatan,” katanya lagi.
Persidangan itu turut diadakan serentak dengan Mesyuarat Tahunan Global Harmonization Working Party (GHWP) ke-28 melibatkan wakil dari 34 negara.
KKM turut berkata, mesyuarat itu bertujuan menyelaraskan rangka kerja global untuk penerimaan teknologi baharu dengan fokus kepada keselamatan pesakit.
“Malaysia sebagai tuan rumah berjaya memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa, membuktikan keupayaan negara sebagai peneraju dalam industri dinamik ini.
“IMDEC 2024 adalah bukti komitmen kerajaan untuk memacu inovasi, memperkukuhkan peraturan kawal selia dan mengembangkan sektor penjagaan kesihatan yang inklusif serta berteknologi maju,” katanya lagi.
Acara itu juga menegaskan aspirasi Malaysia untuk terus menjadi hab teknologi perubatan global, bukan sahaja untuk manfaat rakyat tempatan tetapi juga masyarakat antarabangsa.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune