Bazar Ramadan KL: DBKL urus sepenuhnya tahun hadapan
KUALA LUMPUR – Permohonan lesen perniagaan bagi penjaja di 42 lokasi bazar Ramadan di ibu negara akan diuruskan sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, langkah ini adalah bagi memudahkan urusan penjaja terbabit dalam membuat permohonan lesen untuk mendapatkan tapak niaga.
Pada masa yang sama, katanya, ia juga bagi menangani rungutan mereka mengenai harga dikenakan bagi permohonan lesen perniagaan.
“Di bawah Datuk Bandar (DBKL), KWP menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk melihat keperluan bazar Ramadan tahun depan.
“Insya Allah, seperti nyatakan sebelum ini lesen akan diselenggara terus daripada DBKL.
“Ini bagi memastikan penjaja dapat tempat dan harga lebih kompetitif kerana seperti apa kita dengar mereka memberi aduan harga terlalu tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis setahun bersama pentadbirannya di Auditorium DBKL, di sini hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Tambah Dr Zaliha, bazar pada tahun hadapan akan lebih diserikan dengan penglibatan badan korporat selaku rakan kerjasama dalam memastikan bazar Ramadan yang ada menepati keperluan warga kota.
“Bukan hanya lebih cantik dan lebih seragam dengan bab berkaitan kebersihan dan sebagainya akan diambil kira oleh DBKL.
“Setakat ini, kita sudah mengenal pasti lokasi berkenaan dan mulakan kerja awal bagi memastikan bazar berjalan baik dan lancar,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune