Banduan pertama miliki ijazah Doktor Falsafah diberi pengampunan Sultan Selangor
KAJANG – Banduan pertama yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) sewaktu menjalani hukuman penjara, diberi pengampunan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan Baginda, semalam.
Murad (bukan nama sebenar) yang memiliki PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, telah menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang.
“Murad merupakan prospek pertama Jabatan Penjara yang bergelar Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, setelah menyambung pelajaran ketika menjalani hukuman di penjara,” kata jabatan tersebut menerusi perkongsian di akaun Facebook miliknya.
Waran pembebasan dibacakan Pengarah Penjara Kajang Preshahdin Monshee, semalam.
Semasa sesi pembebasan itu, Preshahdin turut menasihatkan Murad supaya sentiasa mengamalkan disiplin, serta menggunakan ilmu yang ada dalam memajukan diri dan pihak jabatan sedia membantu sekiranya Murad memerlukan bantuan.
Murad, pada sesi berkenaan turut menzahirkan kesyukuran dan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor di atas pengampunan baginda, serta Jabatan Penjara kerana memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk menyambung pengajian sehinggalah bergelar Doktor Falsafah.
Murad turut berkata, dia akan mengenang segala jasa baik pihak jabatan dan percaya dengan peranan jabatan dalam memulihkan prospek sepertinya, supaya dapat dikembalikan dengan lebih sempurna.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune