Penebusan Baucar Buku Madani hampir capai sasaran
KUALA LUMPUR — Sebanyak 97.98 peratus atau 3,449,991 murid dan pelajar lepasan menengah di seluruh Malaysia telah menebus Baucar Buku MADANI setakat 10 Disember lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah itu merangkumi murid tahap dua sekolah rendah, murid sekolah menengah serta penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi (MATRIKS), Kolej Tingkatan Enam (KTE) dan Kolej Vokasional (KV).
Menurutnya, sebanyak 1,395,358 murid tahap dua sekolah rendah atau 98.72 peratus serta 1,969,154 murid sekolah menengah atau 98.11 peratus telah membuat penebusan.
Sementara itu, 84,979 penuntut IPG, MATRIKS, KTE dan KV mencatat kadar penebusan sebanyak 96.37 peratus.
“Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengurus dengan pelbagai jabatan dan pihak berkaitan bagi membantu murid dalam proses penebusan baucar tersebut,” jelas Fadhlina melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.
Setakat ini, 47 parlimen dan 8,509 sekolah di seluruh negara telah mencapai kadar penebusan 100 peratus.
Labuan mencatat kadar penebusan tertinggi mengikut negeri dengan 100 peratus, diikuti Terengganu (99.95 peratus), Johor (99.89 peratus), Pulau Pinang (99.87 peratus) dan Perak (99.72 peratus).
Katanya, bagi memastikan semua murid dapat menebus baucar sebelum tamat tempoh program pada 31 Disember, KPM sedang melaksanakan beberapa langkah strategik.
“Ini termasuk kolaborasi dengan penjual buku dan penerbit, kempen penebusan di sekolah, promosi melalui Pesta Buku Dalam Talian di platform Book Capital, serta penggunaan media sosial dan penglibatan pempengaruh muda.
“KPM turut membuka kaunter penebusan baucar buku dalam Jelajah Program Madani Rakyat di seluruh negara untuk memudahkan proses penebusan,” katanya.
Sehubungan itu katanya, KPM merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman pemberian Baucar Buku MADANI pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 30 Mei lalu.
“Pemberian baucar itu bertujuan menyemai dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan generasi muda.
“Murid sekolah rendah (Tahun 4 dan ke atas) menerima baucar sebanyak RM50, manakala murid sekolah menengah dan pelajar lepasan menengah menerima baucar sebanyak RM100,” katanya lagi.
Program itu diharap dapat mencapai 100 peratus penebusan sebelum akhir tahun menyumbang kepada pembangunan budaya membaca dalam kalangan pelajar di Malaysia.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune