Berita Semasa

Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Kuala Lumpur 2 kini dilengkapi teknologi AI – Kor Ming

KUALA LUMPUR – Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Kuala Lumpur (TSKL 2), kini dilengkapi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang mampu mengenal pasti, menyusun dan memproses sisa pepejal secara automatik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pengoperasian stesen tersebut adalah bagi menggantikan stesen lama yang telah beroperasi lebih 22 tahun.

Lebih membanggakan, katanya, TSKL 2 telah diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai stesen pemindahan sisa pepejal terbesar, dilengkapi dengan sistem kecerdasan buatan (AI) dengan jumlah purata pemindahan sisa sebanyak 2,495.66 tan sehari.

“TSKL 2 merupakan simbol komitmen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk merevolusikan pengurusan sisa pepejal negara.

“Ia bukan sekadar sebuah infrastruktur baharu tetapi satu langkah ke hadapan dalam mengintegrasikan teknologi moden dengan keberkesanan operasi pengurusan sisa pepejal negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyempurnakan Majlis Perasmian TSKL 2 di Kepong, Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Kor Ming, TSKL 2 kini berfungsi sebagai pusat pengurusan sisa pepejal moden di yang memastikan sisa dikumpul melalui 450 buah kenderaan kompaktor yang berkapasiti 16 tan .

Katanya, sisa terkumpul kemudian dipindahkan dengan lebih efisien menggunakan trailer sebelum dihantar ke Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Tagar.

“Teknologi ini mengurangkan kebergantungan kerja secara manual, mempercepatkan proses pemindahan dan memastikan pengurusan sisa yang lebih lestari serta mesra alam,” katanya.

Menurut Kor Ming lagi, bajet yang diperuntukkan bagi perkhidmatan kutipan sisa pepejal adalah sebanyak RM1.74 bilion iaitu 47 peratus melibatkan pengoperasian perkhidmatan pengurusan sisa pepejal keseluruhannya.

“Ini mencerminkan kepentingan kerajaan MADANI pada hari ini dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam terus terpelihara,” ujarnya.

Kor Ming berkata, secara keseluruhannya kementeriannya melalui JPSPN telah melaksanakan perancangan yang rapi untuk pembangunan pelbagai projek baharu pengurusan sisa pepejal.

Katanya, ia melibatkan pembinaan sel, stesen pemindahan termasuklah penutupan selamat tiga buah tapak pelupusan sisa pepejal di Krubong, Melaka, Pontian, Johor dan Tampin, Negeri Sembilan menjadi Lestari Park bagi tujuan aktiviti riadah dan juga dilengkapi dengan elemen landskap yang menarik bagi memupuk gaya hidup yang sihat.

“Semangat kebersamaan dan sinergi harmoni semua pihak bagi menjayakan inisiatif ini secara langsung untuk mewujudkan bandar yang lestari, meningkatkan kualiti hidup rakyat dan menjadikan Malaysia Madani satu kenyataan,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button