Berita Semasa

Menteri Pertahanan Malaysia, Australia ulangi kebimbangan perkembangan di Laut China Selatan

KUALA LUMPUR – Malaysia mengulangi kebimbangan serius terhadap perkembangan di Laut China Selatan yang boleh mengancam keamanan, keselamatan dan kestabilan rantau ini serta menekankan kepentingan kebebasan pelayaran dan penerbangan mengikut undang-undang antarabangsa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian dalam kenyataan bersama dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles semasa pertemuan mereka sempena Mesyuarat Jawatankuasa Tinggi bagi Program Pertahanan Malaysia-Australia ke-4 di Melbourne hari ini.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua menteri turut menggalakkan semua pihak supaya mengawal diri dalam menjalankan aktiviti dan mengelak daripada tindakan yang boleh meningkatkan risiko kemalangan, salah faham serta salah tafsir.

Mereka juga menekankan keperluan untuk semua negara menyelesaikan pertikaian berkaitan isu Laut China Selatan secara aman, mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

Kedua-dua menteri menyatakan sokongan mereka terhadap keutamaan ASEAN dan seni bina serantau yang diterajui blok itu yang bersifat terbuka, telus, berasaskan peraturan dan inklusif serta sokongan berterusan terhadap pelaksanaan praktikal Pandangan ASEAN di Indo-Pasifik.

Mereka turut mengiktiraf nilai Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus bersama Kumpulan Pakar Kerja sebagai cara untuk membina keyakinan dan pencegahan konflik serta meningkatkan kapasiti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button