Mayat dalam bagasi dipercayai bukan warga negara, hanya patah hidung
KAJANG- Mayat seorang lelaki berusia dalam lingkungan usia 20 tahun yang ditemui di dalam sebuah beg di tepi jalan di Taman CP6, Cheras Perdana di sini semalam hanya mengalami patah hidung.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, hasi bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa tidak menemui sebarang kecederaan lain dan mendapati keadaan mayat dalam keadaan sempurna.
Katanya, mangsa ditemui lengkap berpakaian itu dipercayai warga asing kerana tidak mempunyai kesan suntikan BCG pada tubuhnya.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang mendapati tiada kecederaan lain selain patah di bahagian hidung.
“Punca kematian diputuskan sebagai ‘pending laboratory investigation’ iaitu menunggu laporan lengkap makmal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Naazron berkata, berdasarkan keadaan fizikal mangsa, lelaki berkemungkinan berusia 20-an dan seberat 45 kilogram.
Menurutnya, ketika ditemukan mangsa memakai baju dan seluar pendek hijau bermotif bunga serta cincin perak di jari kanannya.
Semalam, polis menerima panggilan 11.45 pagi daripada orang awam berhubung penemuan sebuah bagasi berbau busuk dan dikerumuni lalat.
Pemeriksaan mendapati mayat seorang lelaki disumbat dalam bagasi dan mayat tersebut dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Umesh Ratna Kumar di talian 012-6114900 atau mana-mana balai polis terdekat dengan segera.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune