Hospital Bersalin Razif jawab dakwaan di media sosial
KLANG – Hospital Bersalin Razif (HBR) tampil menjawab semua dakwaan yang dibuat di media sosial hari ini.
Melalui laman Facebook rasmi, pihak pengurusan telah memuatnaik kenyataan media satu muka surat bagi menjelaskan situasi yang berlaku dalam kes yang tular melibatkan jenazah bayi Muhammad Adham Mikhail yang disimpan selama 16 hari di peti sejuk beku hospital tersebut.
“Pesakit ini mendakwa bahawa ini adalah kehamilan pertamanya dan datang ke HBR ketika sedang dalam fasa meneran. Dia tidak pernah menjalani pemeriksaan antenatal sepanjang kehamilannya dan mendakwa hanya memantau kehamilannya menggunakan perisian aplikasi telefon.
“Dia dibawa ke hospital oleh ‘suaminya’ (kemudian dia mendakwa bahawa dia belum berkahwin). Memandangkan kesakitannya yang kuat akibat proses bersalin, dia dibawa dari kereta ke bilik pemeriksaan menggunakan kerusi roda untuk penilaian segera.
“HBR terpaksa menerima pesakit ini atas dasar kemanusiaan walaupun tidak berdaftar dan tidak melalui saringan. Dia dibawa ke bilik bersalin dan melahirkan bayi hampir serta-merta. Bayinya mengalami sindrom cyclops dengan satu mata, tiada hidung dan dubur. ‘Suaminya’ tidak menemani wanita itu semasa proses bersalin.
“Doktor menjelaskan kepada ‘suaminya’ mengenai keadaan bayi dan memintanya untuk mengazankan bayi. Suntikan rutin diberikan kepada bayi dan rujukan telah dirancang. Namun, bayi tersebut bertukar menjadi biru dan meninggal dunia beberapa minit kemudian,” menurut kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu lagi, permit pengebumian telah ditandatangani dan doktor memaklumkan kepada ‘suami’ supaya menguruskan pengebumian pada keesokan harinya. ‘Suami’ tersebut kemudian meninggalkan hospital kerana katanya dia perlu ke tempat lain.
“Pesakit berada dalam keadaan sihat dan dibenarkan keluar hospital pada keesokan harinya. Namun, dia memaklumkan bahawa dia tidak mampu menjelaskan keseluruhan bil sebanyak RM2,480.
“Dia diberitahu bahawa dia boleh menguruskan pengebumian terlebih dahulu sebelum membayar bil tersebut. Kemudian dia berkata bahawa ‘suaminya’ akan menguruskan pengebumian itu. Oleh itu, HBR menunggu ‘suaminya’ untuk mengambil bayi bagi tujuan pengebumian.
“Hari-hari berlalu, HBR terus mengingatkannya untuk meneruskan urusan pengebumian, tetapi dia terus mengatakan bahawa ‘suaminya’ sedang menguruskan hal itu. Dia dilayan dengan baik, bergaul dengan kakitangan wad, diberikan kaunseling dan makanan percuma. ‘Suaminya’ datang melawatnya selama beberapa minit setiap 2 hingga 3 hari.
“Percubaan untuk berbincang dengan ‘suaminya’ mengenai pengebumian gagal. Pihak pengurusan HBR berbincang dengan pesakit untuk mendapatkan bantuan polis bagi menyelesaikan urusan pengebumian, tetapi dia merayu agar tidak melibatkan pihak polis.
“Dia terus mengatakan bahawa semua keputusan akan dibuat oleh suaminya. HBR cuba mendapatkan maklumat keluarga, tetapi dia enggan memberikannya kepada sesiapa. Dia mendakwa bahawa dia tinggal di bilik sewa bersama ‘suaminya’ dan tidak mempunyai saudara mara atau rakan yang berdekatan.
“HBR kekal komited terhadap ketelusan dan pematuhan dalam semua urusannya,” tulis kenyataan itu.
Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen tetap menyalahkan tindakan hospital tersebut.
“Pandai pusing cerita,” komen Harris Drummer.
“Tutup je lah hospital ni, selama ni pun review memang dah sedia teruk,” tulis Azalia.
Seorang lagi pengguna media sosial, Bubu Yaina turut menulis: “Aku tak kisah kau nak cakap apa dekat mak ayah dia, tapi aku kisah yang pergi hina anak dia. Semoga bankrap.”
Sehingga artikel ini ditulis, status tersebut telah menerima 2,900 reaksi, 50 komen dan 1,500 perkongsian.
Insiden tragis itu didedahkan oleh aktiviti sosial, Wan Cai Official melalui saluran Facebook rasmi beliau. Kemudian, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) yang turut ‘dipetik’ netizen tampil menafikan mereka memiliki hospital tersebut melalui satu kenyataan hari ini.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune