Berita SemasaPM X

Titah Adendum: PM Anwar serah kepada Agong isu Najib

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberikan pengesahan berhubung kewujudan titah tambahan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkaitan kemungkinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibenarkan menjalani tahanan rumah.

Jelas Perdana Menteri, beliau tidak dapat memberikan sebarang ulasan mengenai perkara itu kerana terikat oleh batasan undang-undang..

Namun demikian, beliau mencadangkan agar isu tersebut dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong semasa, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, memandangkan perkara itu terus menjadi perbincangan.

“Memandangkan perkara ini terus berbangkit, saya telah mencadangkan untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong sekarang, untuk – pada masa yang dirasakan sesuai oleh Agong – merujuk perkara itu kepada Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan oleh Agong,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dia berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Seri Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali (BN-Pekan) di Dewan Rakyat hari ini, yang bertanya sama ada Anwar bercadang untuk mengadap Sultan Pahang yang didakwa mengeluarkan titah adendum itu untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Terdahulu, Anwar didesak oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) untuk mengesahkan sama ada adendum itu wujud atau tidak.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, beliau tidak boleh menjawab buat masa ini dengan memetik peraturan Parlimen yang menghalang perbincangan subjudis untuk kes mahkamah yang sedang berjalan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button