Galeri

Pameran Animasi Malaysia: Singkap sejarah animasi negara 

KUALA LUMPUR – Pameran Animasi Malaysia: Dari Idea ke Realiti yang berlangsung di Muzium Negara sejak 21 November lalu menampilkan pelbagai karya ikonik yang menceritakan sejarah dan perkembangan animasi tempatan.

Bermula dengan animasi tradisional Sang Kancil, pameran ini menyingkap perjalanan unik dunia animasi tempatan yang melalui siri televisyen pertama, Usop Sontorian sehinggalah ke tahap yang dicapai sekarang.

Menurut Presiden Animasi Keempat, Zahrin Zamzuri @ Kartunis Jakall, Usop Sontorian yang dihasilkan oleh Karisma Pictures telah membuka lembaran baharu dalam industri animasi negara.

Animasi Usop Sontorian yang dipamerkan dalam pameran Animasi Malaysia: Dari Idea ke Realiti merupakan siri animasi televisyen pertama di Malaysia, yang memperkenalkan dunia animasi tempatan dengan gaya visual unik dan pengaruh budaya Melayu yang mendalam.

“Apa yang menarik tentang Usop Sontorian ialah penggunaan teknik dan sistem unik yang belum pernah digunakan mana-mana negara lain ketika itu.

“Ini kerana Malaysia menghadapi kekangan bajet serta ketiadaan pengetahuan formal mengenai animasi pada masa tersebut. Ketika itu, tiada universiti di Malaysia yang menawarkan jurusan animasi, malah pekerjaan sebagai animator juga tidak wujud,” jelasnya.

Kartunis Jakall turut berkongsi kisah menarik bagaimana Karisma Pictures mencari bakat animator.

“Kami masuk ke setiap negeri dan mengadakan sesi uji bakat di kampung-kampung.

“Syarat kelayakan hanyalah pandai melukis. Ramai yang tidak tahu mereka akan bekerja sebagai animator kerana konsep itu asing di Malaysia pada waktu itu,” katanya.

Meskipun berhadapan dengan kekangan teknologi, kreativiti tetap menjadi keutamaan.

“Perisian yang kami mampu beli hanyalah Anipro yang asalnya digunakan untuk membuat kesan khas, bukan animasi. Namun, ketika itu Kam Ismail berjaya mencipta sistem baharu yang membolehkan perisian itu menghasilkan animasi. Hasilnya, lahirlah Usop Sontorian, animasi siri pertama Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada masa yang sama, kartunis Jakall turut menekankan kejayaan luar biasa bekas pasukan Usop Sontorian.

“Mereka bermula dengan gaji hanya RM400, namun kini ramai yang membuka syarikat sendiri dan menghasilkan kesan khas untuk filem terkenal seperti Hantu Kak Limah. Ada yang berjaya memenangi anugerah atas hasil kerja mereka,” tambah beliau.

Pameran ini turut memaparkan perjalanan penuh inspirasi individu-individu yang menjadi tonggak industri animasi tempatan.

“Kisah mereka membuktikan bagaimana semangat dan usaha gigih mampu mencipta perubahan besar dalam industri,” katanya ketika ditemu bual.

Selain itu, pameran ini juga menampilkan karya siri Kampung Boy oleh kartunis terkenal, Datuk Lat.

Kampung Boy, karya animasi Datuk Lat dipanjangkan dalam pameran Animasi Malaysia

Menariknya, koleksi ini terdiri daripada barangan peribadi Datuk Lat yang tidak pernah dipamerkan di mana-mana sebelum ini.

“Datuk Lat sendiri meminjamkan koleksi eksklusif ini untuk pameran,” kata kartunis Jakall.

Pameran Animasi Malaysia: Dari Idea ke Realiti bukan sahaja menyajikan fakta-fakta menarik, tetapi juga memberi penghormatan kepada perjalanan luar biasa individu dan karya yang telah mencorakkan industri animasi negara.

Pengunjung berpeluang mendalami kisah di sebalik tabir serta menyaksikan pencapaian yang mengagumkan hasil dedikasi anak-anak tempatan.

Pameran ini dibuka kepada umum sehingga 31 Januari tahun depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button