Malaysia catat pelaburan RM254.7 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini
KUALA LUMPUR – Malaysia telah berjaya merekodkan jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bernilai RM254.7 bilion dalam sembilan bulan pertama tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah pelaburan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10.7 peratus, berbanding RM230.2 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.
Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, nilai tersebut melibatkan 4,753 projek yang dijangka akan menjana sejumlah 159,347 peluang pekerjaan baharu.
“Perkara itu dimaklumkan sewaktu saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 8 Tahun 2024 terkait soal prestasi pelaburan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di akaun X milik beliau hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, Perdana Menteri berkata, MPN juga telah bersetuju dan mengesahkan Garis Panduan bagi Pembangunan Pusat Data Mampan yang mengandungi metrik kecekapan Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) dan Keberkesanan Penggunaan Air (WUE).
Katanya, garis panduan ini akan digunapakai sebagai syarat kelayakan insentif cukai di bawah Skim Pecutan Ekosistem Digital (DESAC) hatta ia adalah inisiatif penambahbaikan polisi terkait usaha memacu pelaburan bagi pusat-pusat data negara ini.
“Kerajaan Madani berterusan menambah baik dasar sedia ada dan mewujudkan dasar-dasar baharu sebagai langkah meningkatkan daya saing negara,” katanya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune