Khaled Nordin adakan pertemuan dengan TPM Australia
MELBOURNE – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles di Commonwealth Parliament Offices, Melbourne di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, pertemuan tersebut disusuli Mesyuarat Jawatankuasa Tinggi (HLC) bagi Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) keempat yang dipengerusikan secara bersama.
“Terdapat beberapa perkara utama yang telah dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
“Pertama, berkenaan hubungan pertahanan sedia ada antaranya, melalui Operasi Gateaway, eksesais-eksesais seperti HARINGAROO dan Keris Strike, Five Power Defence Arrangements (FPDA) serta MAJDP sendiri.
“Kedua-dua buah negara menghargai sumbangan masing-masing dalam konteks pengukuhan kerjasama sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu katanya, kedua-dua buah negara turut membincangkan soal pembangunan ketumbukan siber yang dilihat penting kini misalnya dalam pembangunan doktrin pertahanan, kerjasama dalam keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, turut disentih berkenaan isu dan perkembangan geopolitik serta pertahanan di ASEAN dan seluruh dunia.
“Lebih-lebih lagi Malaysia sedang memuktamadkan persiapan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan.
“Australia mengiktiraf peranan yang dimainkan Malaysia dalam memeta ASEAN yang dilihat berfungsi dengan cukup baik dan negara tersebut akan sentiasa memberikan perhatian terhadapnya.
“Kedua-dua buah negara akan memastikan rancangan kerjasama khususnya dalam pelan 5 tahun ke hadapan diperkemas agar lebih berstruktur dan teratur, termasuklah dalam soal meningkatkan keupayaan domain maritim serta pembangunan kapasiti pertahanan Malaysia,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune