CEO Talk: IKMa bantu koperasi timba ilmu berkaitan emas
PUTRAJAYA – Seramai 150 peserta yang mewakili 60 buah koperasi teruja menimba ilmu berkaitan industri logam emas sempena program CEO Talk – Perniagaan di Ambang Revolusi: Adaptasi dan Transformasi anjuran Pusat Perundingan Koperasi, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di Hotel Everly di sini, hari ini.
Perkongsian ilmu oleh salah seorang assayer terkemuka Malaysia, Abdul Shukor Anuar iaitu satu-satunya anak Melayu yang mempunyai kemahiran dalam konteks menganalisis ketulenan emas, membuka mata peserta tentang kepentingan peranan assayer terutama buat koperasi yang menjalankan perniagaan Ar-Rahnu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan), IKMa, Mohd Zaib Mat Yunus berkata, CEO Talk merupakan program tahunan yang memberi tumpuan kepada koperasi-koperasi besar di bawah Pusat Perundingan Koperasi.
“Berdasarkan statistik, kita lihat sumbangan atau perolehan koperasi pada tahun 2023 iaitu RM64.56 bilion dan antara penyumbang utamanya adalah dalam sektor kluster sederhana dan besar.
“Melalui program ini, kita melihat ruang dan peluang yang ada dalam konteks untuk koperasi-koperasi yang hadir melebarkan lagi perniagaan mereka terutamanya dalam bidang kredit,” ujar Mohd Zaib kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, gambaran yang diberikan penceramah tentang peranan penting assayer dalam menganalisis ketulenan komposisi logam berharga seperti emas, perak dan platinum untuk koperasi melibatkan diri secara langsung dalam industri emas termasuklah perkhidmatan kedai emas, emas digital, simpanan emas serta jual beli emas terpakai.
“Perniagaan dalam industri ini sangat menguntungkan jika dirancang dan dilaksanakan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh koperasi.
“Namun terdapat cabaran utama berkaitan aspek ketulenan dan pengesahan produk berkaitan emas ini. Justeru, assayer bertanggungjawab menentukan ketulenan emas dan logam lain menggunakan pelbagai kaedah seperti ujian kimia atau analisis spektrum.
“Mereka juga akan melalui proses saringan ketat dan membuat pengujian setiap produk emas sebelum disijilkan untuk dijual kepada orang ramai.
“Tujuannya adalah untuk memastikan setiap produk menepati standard piawaian yang telah ditetapkan bagi mengurangkan risiko pemalsuan emas dalam pasaran.
“Saya berharap maklumat yang disampaikan dapat memberikan pengalaman baru dan penambahan ilmu pengetahuan buat semua peserta,” kata beliau lagi.
Berdasarkan statistik sehingga 31 Disember 2023 yang dikeluarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), terdapat 15,809 buah koperasi dengan keanggotaan seramai 7.2 juta orang.
“Setakat 31 Disember 2023, terdapat 389 premis Ar-Rahnu melibatkan 102 buah koperasi telah beroperasi. Perniagaan Ar-Rahnu berpotensi untuk mewujudkan produk hiliran melalui revolusi perniagaan yang dapat memperluaskan lagi peluang perniagaan serta meningkatkan nilai tambah kepada industri ini.
“Melihat kepada pengisian program hari ini, ia amat bertepatan dengan kehendak dasar oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi khususnya di bawah Dasar Koperasi Malaysia (DaKom) 2030 di mana perkhidmatan kewangan merupakan strategi dalam meningkatkan sektor koperasi,” jelas Mohd Zaib.
IKMa merupakan sebuah institusi latihan dan pendidikan yang ditubuhkan pada tahun 1956 khusus untuk meningkatkan keupayaan dan pembangunan koperasi di Malaysia.
Ia beroperasi di bawah seliaan dan kawalan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
IKMa berfungsi sebagai pusat pembelajaran dan rujukan bagi gerakan koperasi yang mempunyai objektif memperkasa koperasi sebagai alat pembangunan sosioekonomi, menyokong agenda pembangunan nasional melalui pendekatan koperasi dan menggalakkan amalan nilai koperasi seperti kerjasama, keadilan dan keusahawanan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune