Berita Semasa

BEP buka peluang syarikat tempatan tembusi pasaran antarabangsa

KUALA LUMPUR – Sokongan kerajaan melalui pembiayaan, latihan, dan peluang rangkaian antarabangsa menerusi Program Eksport Perniagaan (BEP) membuka peluang kepada 83 syarikat mencatat hasil eksport lebih RM192 juta ke negara luar seperti Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom (UK).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya yakin usaha memperkasa usahawan tempatan menerusi pelaksanaan BEP akan terus menyumbang kepada pencapaian matlamat Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 serta pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.

“Kementerian menyokong penuh inisiatif seperti BEP kerana program itu bukan sahaja memberi peluang kepada syarikat untuk berkembang tetapi juga membantu melahirkan lebih ramai pengeksport Bumiputera yang kompetitif di peringkat antarabangsa.

“Terima kasih kepada Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) yang sentiasa memainkan peranan penting dalam membimbing dan membangunkan usahawan negara.

“Kerajaan sedia memperkasakan usahawan tempatan melalui program seperti BEP yang bertujuan untuk mempertingkatkan keupayaan eksport syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi BEP 2024 di sebuah hotel dekat sini.

Hadir sama, Pengerusi SME Bank, Datuk Muslim Hussain.

Menurut Ewon, kerajaan maklum akan kedudukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai tulang belakang ekonomi negara.

Beliau berkata, tahun lalu, PKS menyumbang sebanyak RM613.1 bilion atau 39.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sumbangan itu menjadi bukti bahawa PKS adalah elemen penting dalam pembangunan ekonomi kita. Menyedari perkara ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan sektor PKS.

“Melalui DKN 2030, pelbagai inisiatif dirangka bagi memastikan usahawan kita sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran ekonomi yang semakin kompetitif.

“Salah satu teras utama DKN 2030 adalah Teraju Strategik Keenam iaitu Pengantarabangsaan Usahawan Tempatan, dan program BEP adalah bukti kukuh komitmen itu.

“Berbekalkan semangat yang ada pada kamu semua, saya yakin kita mampu untuk terus memperkasakan usahawan negara untuk mencipta nama di peringkat global dan memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang dihormati di pentas dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon berkata, kementerian melaksanakan pelbagai pelan strategik untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan negara selari dengan aspirasi DKN 2030.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button