203,123 individu, syarikat dikenakan sekatan perjalanan setakat 30 November – LHDN
CYBERJAYA – Sebanyak 203,123 individu dan syarikat telah dikenakan tindakan sekatan perjalanan ke luar negara selepas mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan sehingga 30 November lalu.
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), berdasarkan Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976, pihaknya diberi kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan Malaysia jika mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan.
“Sehingga 30 November lalu, bilangan kes sekatan perjalanan melibatkan Sekyen 104 ACP 1967 individu ialah seramai 175,656 manakala Seksyen 75A 1976 melibatkan syarikat pula seramai 15,070.
“Untuk Sekyen 22 ACKHT 1976 melibatkan individu pula seramai 12,205 manakala Sekyen 22 Subperenggan 5(1A) ACKHT 1976 melibatkan syarikat ialah 192,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut LHDN, sekatan perjalanan merupakan tindakan terakhir yang boleh dikenakan sekiranya pembayar cukai masih lagi gagal membuat bayaran terhadap baki cukai yang tertunggak selepas pelbagai peringatan kodan notis telah diberikan.
Justeru, LHDN ingin menasihatkan kepada semua pembayar cukai yang ingin ke luar negara untuk menyemak status tunggakan cukai masing-masing terlebih dahulu menerusi portal MyTax yang boleh dicapai di https://mytax.hasil.gov.my/.
Selain itu, katanya, semakan sekatan perjalanan ke luar negara boleh dilakukan menerusi portal rasmi Jabatan Imigresen Malaysia di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.
“Sebagai maklumat tambahan, mulai 4 Mac 2024 permohonan pembatalan sekatan perjalanan boleh dibuat secara dalam talian menerusi pekhidmatan e-Sekatan Perjalanan yang boleh diakses menerusi portal MyTax.
“Permohonan pembatalan sekatan perjalanan juga boleh dilakukan dengan prosedur dan saluran sedia ada iaitu dengan menghubungi di talian 03-8911 1000 atau hadir ke pejabat LHDN berhampiran.
“Maklumat lanjut berkenaan e-Sekatan Perjalanan boleh dirujuk pada soalan lazim permohonan pembatalan sekatan perjalanan menerusi capaian pantas di https://www.hasil.gov.my/individu/lain-lain/soalan-lazim-individu/,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune