PM Anwar mahu Malaysia perkukuh kedudukan dalam industri perdagangan halal
SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia memperkukuh kedudukan dalam industri perdagangan halal yang bernilai melebihi USD 1 trilion (RM4.5 trilion).
Perdana Menteri berkata, negara perlu menarik pelaburan, menjana ekonomi umat, serta merapatkan hubungan antarabangsa dalam industri perdagangan halal yang melibatkan bukan sahaja makanan tetapi juga kosmetik dan pelbagai produk lain.
“Halal bukan sekadar pensijilan, tetapi satu tanggungjawab besar yang merangkumi kesihatan, kebersihan, dan maqasid syariah secara menyeluruh.
“Keupayaan halal negara perlu terus menjadi contoh global, bukan sekadar terkenal dengan pensijilan tetapi juga dengan nilai ekonomi dan kemampanan yang tercerna darinya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan Majlis Peluncuran Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) semalam.
Anwar berkata, beliau turut berkongsi pemerhatian semasa berkunjung ke beberapa negara, termasuk China, Peru dan Brazil yang menonjolkan minat yang mendalam kepada industri halal kita, selain hal pensijilan.
“Ini juga merupakan antara matlamat dan budaya yang saya cuba terapkan semasa mengemudi Jabatan Wilayah sebelum ini kerana aspek halal tidak hanya terhad kepada pensijilan tetapi turut mencakup aspek kebersihan dan kualiti.
“Ia secara tidak langsung mencambah keyakinan kepada semua, termasuk pelancong-pelancong untuk berbelanja di warung-warung kita, sekaligus menyemarakkan ekonomi tempatan,” katanya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune