MAJDP: Mohamed Khaled pimpin perbincangan pertahanan Malaysia-Australia di Melbourne
KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengadakan lawatan kerja rasmi selama dua hari ke Melbourne, Australia, bersempena Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) ke-4.
Menurut Mohamed Khaled, dalam lawatan itu, beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, TYT Richard Marles.
“Saya dan TYT Richard Marles seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tinggi (HLC) bagi Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) ke-4.
“Mesyuarat HLC MAJDP melibatkan kepimpinan tertinggi kementerian pertahanan dan angkatan tentera kedua-dua buah negara.
“Ia akan membincangkan, antara lain, langkah-langkah untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Australia, baik dari segi bilateral mahupun multilateral, termasuklah dalam soal kesedaran domain maritim, perkongsian maklumat dan bidang kerjasama masa depan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tullamarine, pada jam 10.50 pagi (waktu tempatan).
Ketibaan beliau disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Nik Muhammad Nasyron Syah Nik Daud dan Penasihat Pertahanan Malaysia di Canberra, Kol. Mahamad Fazli Mat Idris.
Sebagai rekod, lawatan tersebut merupakan yang pertama sejak Mohamed Khaled dilantik sebagai Menteri Pertahanan, tahun lalu.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune