Dakwaan rasuah ADUN Sabah: Pemberi maklumat belum serahkan bukti kepada SPRM
PETALING JAYA – Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat memberi jaminan mengenai sebarang perlindungan atau imuniti seperti yang dituntut pemberi maklumat dakwaan rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ini kerana pemberi maklumat itu masih enggan memberikan rakaman audio yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit itu kepada pihaknya.
“Saya tidak dapat memberi sebarang jaminan sehingga dia memberi kami semua (bahan bukti).
“Apa yang berlaku sekarang, dia berikan kepada kamu (media) tapi bukan kepada SPRM. Jadi siapa kami? Kami hanyalah ‘orang kecil’,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024, di sini hari ini.
Sementara itu, Azam berkata, sehingga hari ini, SPRM sudah merekod 15 keterangan berhubung video tular dakwaan skandal rasuah itu, termasuk daripada lapan ADUN dan pemberi maklumat berkenaan.
Sementara itu, berhubung siasatan kes membabitkan seorang pengarah syarikat dan penjawat awam yang dipercayai bersubahat bagi membolehkan beberapa syarikat mendapatkan projek pembinaan yang dikeluarkan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di sebuah daerah di Sarawak, Azam berkata, seramai 21 individu dipanggil memberi keterangan setakat ini dan 25 akaun bank dibekukan bagi tujuan siasatan.
“Projek yang terbabit dikatakan bernilai RM250 juta tapi saya tidak boleh sebut mengenai jumlah wang rasuah yang terbabit.
“Wang tunai yang disita adalah sebanyak RM40,000 daripada pegawai kerajaan berkenaan,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune