PADA era moden masa kini, umat Islam berdepan dengan banyak cabaran dan gangguan yang datang dari pelbagai arah dan bentuk.
Teknologi, hiburan tanpa batas dan gaya hidup yang sibuk dengan keseronokan duniawi telah menjauhkan mereka daripada sumber panduan utama dalam kehidupan iaitu Al-Quran.
Anak-anak muda terutamanya, ramai yang tidak lagi menjadikan Al-Quran sebagai sahabat karib yang dibaca dan direnungkan terjemahannya setiap hari.
Kitab suci yang merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW ini sering kali dibiarkan berhabuk di rak atau hanya diambil ketika majlis-majlis tertentu sahaja.
Hakikat ini amat membimbangkan kerana Al-Quran adalah sumber hidayah, penenang hati dan pelita dalam kegelapan dunia yang penuh pancaroba.
Firman Allah dalam surah Al-Furqan, ayat 30 yang bermaksud: “Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini sebagai sesuatu yang tidak dipedulikan.”
Pengarah As Sofa Quranic Centre (AQC), Ustaz Muhammad Aiman Ahmad Al-Hafiz berkata, ayat ini menggambarkan keluhan Rasulullah SAW kepada Allah SWT mengenai sikap sebahagian kaumnya yang tidak mengendahkan atau meninggalkan Al-Quran.
“Menjadikan Al-Quran sebagai sesuatu yang ditinggalkan boleh membawa beberapa maksud. Antaranya ialah tidak membaca Al-Quran dan tidak berusaha membaca serta memahami ayat-ayatnya.
“Selain itu, ia juga membawa maksud tidak mengamalkan isi kandungan kitab suci itu. Maknanya walaupun membaca Al-Quran, mereka tidak mengikuti panduan dan hukum yang terkandung di dalamnya.
“Lebih teruk lagi apabila kita tidak menjadikan Kitabullah sebagai rujukan hidup. Dalam erti kata lain, mengabaikan Al-Quran dalam urusan kehidupan duniawi dan lebih mengutamakan cara hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam,” jelas Ustaz Muhammad Aiman kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, terdapat juga golongan yang bukan sahaja tidak mahu membaca Al-Quran, bahkan mereka mengkritik atau menolak Al-Quran hingga sanggup mempersoalkan isi kandungannya dan tidak mempercayai kebenaran yang terdapat di dalamnya.
“Dunia akhir zaman memang sangat membimbangkan. Fitnah terhadap agama adalah yang paling besar sekali dan perlu kita jauhi.
“Ayat ini menjadi peringatan buat kita semua agar sentiasa berusaha memuliakan, membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran di dalam kehidupan seharian agar kita tidak tergolong dalam golongan yang meninggalkannya,” nasihat beliau.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu ahli Quran terutama para hafiz dan hafizah yang membawa Kalamullah di dalam hati mereka adalah golongan yang mulia di sisi Allah.
Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Al-Quran kerana ia akan datang pada Hari Kiamat memberi syafaat kepada pembacanya.” (Hadis Riwayat Muslim).
“Lebih membahagiakan apabila para hafiz Quran berpeluang untuk memberi syafaat kepada ahli keluarga mereka, di mana mahkota kemuliaan akan dikurniakan kepada kedua ibu bapa mereka sebagai penghargaan atas didikan dan kejayaan yang dikecapi.
“Justeru, nasihat saya kepada umat Islam di luar sana terutamanya anak-anak muda dan orang-orang dewasa, kembalilah pada Al-Quran. Amalkan membacanya setiap pagi dan petang.
“Jika tidak boleh membaca walau semuka, maka memadailah membaca walau satu ayat. Apa yang penting, kita istiqamah dengan amalan membaca Al-Quran ini kerana kebaikannya akan kembali kepada kita sebagai cahaya yang menerangi di alam kubur dan di akhirat nanti. Insya-Allah,” ujar Ustaz Muhammad Aiman.
Ayuh sahabat, di saat dunia kini sudah terlalu menyesakkan jiwa dan raga, tanamkan azam dan tekad dalam diri untuk kembali menjadikan Al-Quran sahabat sejati yang mampu menyuluh kehidupan dan memberikan cahaya keimanan.
Semoga Allah kurniakan kekuatan kerana Dia sebaik-baik tempat kita memohon pertolongan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune