
UBT, universiti moden, elit di pinggir Laut Merah, Jeddah
Oleh : Noor Fazrina Noor Kamal
KETIKA pertama kali menjejakkan kaki di universiti ini, penulis terkejut melihat kemeriahan ratusan pelajar yang memenuhi ruang legar berhadapan pintu masuk utama universiti. Keterujaan tersebut ditambah dengan adanya dua buah kereta model terbaharu dari Jaguar diletakkan di sebelah pintu masuk hadapan kiri dan kanan bangunan empat tingkat tersebut.
Di satu sudut pula kelihatan sekumpulan pelajar lelaki masing-masing bersemangat mengambil giliran untuk mencuba simulator pemanduan Jaguar yang diletakkan di ruang legar di tengah-tengah universiti. Suasananya sudah tentu tidak sama seperti universiti lain yang pernah penulis kunjungi kerana ia ibarat sebuah pusat beli belah yang penuh dengan pengunjung.
Setelah diberi penerangan oleh wakil dari pihak universiti yang mengiringi lawatan kami, barulah penulis tahu bahawa hari tersebut merupakan ‘Business Day’ universiti, di mana para penaja utama yang terlibat, telah mengambil bahagian dalam pameran hari perniagaan tersebut.
Inilah University Business and Technology atau lebih dikenali dengan nama singkatannya UBT yang terletak di Jeddah, Arab Saudi.
Awalnya penulis dan pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pertubuhan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) menerima jemputan khas ini untuk satu peluang bertukar pengalaman dengan UBT, serta memperkukuhkan hubungan akademik antara institusi pendidikan dari Malaysia dan Arab Saudi.
Lawatan ini tidak hanya memperkenalkan kemudahan moden di UBT, tetapi juga membuka peluang untuk kolaborasi lebih lanjut dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan juga aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan untuk kedua-dua buah negara. Peluang hadir pada ‘Business Day’ ini adalah tanpa dirancang, malah merupakan rezeki delegasi kami kerana dapat melihat sendiri kemodenan dan kecanggihan yang ada di UBT.
Terletak di tepi Laut Merah, lautan yang menyaksikan kisah mukjizat Nabi Musa membelah lautan ketika dikejar pasukan tentera Firaun, UBT tersergam indah sebuah universiti moden dengan lebih 4000 pelajar mengikuti pengajian di situ dari pelbagai fakulti ditambah dengan fasiliti tercanggih khas untuk para penuntutnya.
Kampus yang diasaskan pada tahun 2000 ini telah terdahulu dikenali sebagai Institute of Business Administration, kemudiannya bertukar menjadi College of Business Administration pada 2003 sebelum dinaiktaraf menjadi universiti pada tahun 2012.
UBT menjadi pelopor university yang menekankan praktikal UBT kini menawarkan pelbagai program ijazah sarjana muda dan pascasiswazah yang memenuhi keperluan industri. Sejak mendapat status universiti pada tahun 2012, UBT telah memperkenalkan pelbagai program baru dan membangunkan kemudahan pendidikan yang sangat moden.
Pada masa ini, UBT mempunyai dua kampus utama, iaitu kampus lelaki di Dahban dan kampus wanita di Jeddah. Kedua-dua kampus ini dilengkapi dengan kemudahan yang canggih seperti pusat sukan, asrama pelajar, restoran, serta kedai buku dan kafe.
UBT juga berbangga dengan kemajuan dalam penyelidikan dan pengembangan profesional, serta kerjasama dengan institusi antarabangsa seperti Higher Education Academy (UK) dan University of Connecticut (USA).
Menelusuri Kemudahan Pendidikan Terkini
Sepanjang lawatan kami, delegasi dari MiSHA dan UTM berpeluang melawat pelbagai dewan kuliah dan makmal yang dilengkapi dengan teknologi terkini. Antaranya termasuk makmal kejuruteraan, makmal fizik, simulator dalam mahkamah, serta studio rakaman dan pemprosesan audio visual. Kesemua kemudahan ini direka dengan tujuan untuk menyediakan suasana yang menyerupai alam pekerjaan sebenar, sekali gus memastikan pelajar bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang sebenar sebaik sahaja tamat pengajian.
Kemudahan ini, yang dilengkapi dengan teknologi moden, memberikan pengalaman pembelajaran yang sangat relevan kepada pelajar yang bakal memasuki pasaran kerja. Pihak UBT memastikan bahawa semua makmal dan simulator ini mampu memberi pendedahan langsung dan pengalaman yang amat berharga dalam pelbagai bidang, dari bidang teknikal seperti kejuruteraan hingga ke dunia undang-undang dan media.
Delegasi dari MiSHA dan UTM telah disambut dengan penuh mesra oleh pihak pentadbiran UBT yang diketuai oleh Dr. Kholoud Bajunaied, Pengarah Pusat Latihan UBT. Mereka turut diiringi oleh Maha Basha, Timbalan Pengerusi Pusat Latihan UBT, serta Profesor Madya Dr. Suzilawati Kamarudin dari College of Business Administration.
Pihak UBT memberikan penerangan yang mendalam mengenai visi, misi, dan pelbagai pencapaian yang telah dicapai oleh universiti tersebut sejak penubuhannya. Kami juga telah dijemput untuk menyaksikan majlis penghargaan pihak penaja Business Day yang bertempat di Auditorium Utama UBT. Dalam majlis tersebut UBT telah berbangga menerima tajaan sebanyak SRA300,000 dari Jaguar dan penaja-penaja hebat lain seperti Huawei.
Program Pendidikan Berkualiti untuk Pelajar Antarabangsa
UBT amat berbangga menerima pelajar antarabangsa ke College of Business and Administration (CBA). CBA diiktiraf kerana pendidikan berkualiti tinggi dan reputasi cemerlang dalam industri.
Sebanyak 85 peratus graduan CBA menerima tawaran pekerjaan semasa tempoh latihan koperatif mereka, yang membuktikan keberkesanan program akademik mereka dalam mempersiapkan pelajar untuk dunia pekerjaan. Programprogram CBA diakreditasi oleh National Center for Academic Accreditation and Assessment (NCAAA) dan juga diiktiraf oleh Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).
Selain itu, CBA adalah ahli dalam Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) dan EFMD Global Network Association, menjadikannya salah satu kolej perniagaan yang paling berprestij di Arab Saudi.
Sejak penubuhannya pada tahun 2000, CBA telah menawarkan program-program yang sangat relevan dengan keperluan pasaran kerja. Pelajar kini boleh memilih dari lapan program sarjana muda yang unggul, termasuk Perakaunan, Kewangan, Pengurusan Sumber Manusia, Sistem Maklumat Pengurusan, Pengurusan Rantaian Bekalan, Pengurusan Risiko dan Insurans, serta Pengurusan Runcit. CBA terus berusaha untuk memberikan peluang pembelajaran yang luar biasa dan kemahiran lembut yang diperlukan untuk berjaya, mempersiapkan pelajar untuk kerjaya mereka.

Selain daripada program sarjana muda yang terkenal, CBA juga menawarkan enam program sarjana yang cemerlang, termasuk Executive MBA, serta MSc dalam Perakaunan, yang memberi peluang kepada pelajar untuk terus mengembangkan kemahiran mereka dalam bidang-bidang yang sangat diminati oleh industri.
UBT juga telah membina hubungan yang kukuh dengan pelbagai universiti dan institusi pengajian tinggi antarabangsa yang terkemuka, serta pusat latihan profesional di seluruh dunia.
Kerjasama ini melibatkan pelbagai aspek, termasuk, program pertukaran pelajar, program ijazah berkembar, projek biasiswa bersama perundingan dalam hal ehwal akademik dan pembangunan, termasuk projek penyelidikan bersama serta penerbitan jurnal universiti.
Melalui kerjasama ini, UBT berusaha untuk menyediakan pelajar dengan peluang untuk meneroka dunia akademik dan profesional secara lebih global, serta memperluaskan rangkaian antarabangsa mereka. Ini juga membuka peluang untuk berkongsi pengetahuan dan menjalankan penyelidikan bersama yang relevan dengan perkembangan industri semasa.
Sejak penubuhannya, UBT telah memberi fokus kepada penyediaan pengalaman pembelajaran yang unik
dan holistik bagi pelajar, yang dibina atas nilai teras yang kukuh. UBT telah membangunkan pengalaman pembelajaran yang transformasi, yang tidak hanya mempersiapkan pelajar untuk pekerjaan tetapi juga untuk kehidupan.
Dengan menawarkan program akademik dan eksekutif yang berkualiti tinggi dan berpandukan pasaran, UBT memastikan bahawa pelajarnya, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, menerima pendidikan yang relevan dan dapat diterjemahkan dalam dunia pekerjaan.
Program-program yang disampaikan oleh tenaga pengajar yang berbakat, yang mengadaptasi amalan pengajaran dan pembelajaran yang inovatif dan menarik, membantu para pelajar membina kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pemimpin industri dan usahawan yang berjaya. UBT sentiasa mengutamakan pembangunan kemahiran yang boleh dipindah milik dan memberi impak positif kepada peluang pekerjaan dan keusahawanan pelajarnya di masa hadapan.
Visi UBT adalah untuk menjadi universiti terkemuka yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui pendidikan yang berkualiti tinggi, penyelidikan berorientasikan aplikasi, serta perkongsian strategik untuk membangunkan pemimpin masa depan. UBT turut mengalu-alukan pelajar dari Malaysia untuk menyambung pelajaran disini.
Dengan hampir 10,000 graduan yang kini memegang jawatan utama di pelbagai syarikat terkemuka di Arab Saudi, UBT terus berkembang untuk menyediakan pendidikan yang relevan dan berdaya saing dengan
keperluan global.

Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |