
Pertukaran presiden FAM, Hannah Yeoh tidak mahu pembangunan bola sepak terganggu
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu perubahan dalam kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilakukan secara terancang agar tidak menjejaskan pembangunan sukan bola sepak negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru barisan kepimpinan baharu FAM dapat memastikan aspek pengurusan diteruskan dengan baik selepas keputusan Tan Sri Hamidin Mohd Amin untuk tidak mempertahankan jawatan presiden badan induk itu.
“Perubahan itu perkara biasa dalam sukan, tetapi perlu ada kesinambungan.
“Pimpinan lama keluar, pimpinan baharu mesti ada kelestarian. Saya tidak mahu apa-apa perancangan terganggu,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Datuk Chu Ah Nge di Annex Sukan Bukit Kiara, Kelab Diraja Selangor, semalam.
Hannah turut mengharapkan FAM terus komited mengekalkan prestasi baik dan melaksanakan perubahan positif demi mencapai matlamat peningkatan mutu bola sepak negara.
“Kerajaan sudah menyatakan sokongan terhadap bola sepak, seperti yang diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Perubahan dalam kepimpinan FAM adalah baik, tetapi ia mesti mendatangkan hasil yang positif,” katanya lagi.
Menyentuh keputusan Hamidin, beliau menghormati keputusan tersebut dan memahami beliau mungkin mempunyai alasan tersendiri untuk tidak bertanding semula.
“Setakat ini, Hamidin belum bertemu dengan saya seperti yang dirancang, tetapi saya menghormati keputusannya,” tambahnya.
Hamidin, yang menerajui FAM sejak Julai 2018, sebelum ini mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029, yang dijadual berlangsung 15 Februari 2025.
Keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk membawa FAM ke tahap lebih tinggi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |