Michail Antonio stabil selepas terlibat kemalangan jalan raya
LONDON – Penyerang West Ham United, Michail Antonio, dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini dirawat di hospital selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan Essex, semalam.
Kenyataan rasmi West Ham memaklumkan, pemain berusia 34 tahun itu kini sedar, boleh komunikasi dan berada di bawah pengawasan rapi di sebuah hospital di tengah kota London.
“West Ham United boleh mengesahkan Michail Antonio berada dalam keadaan stabil susulan kemalangan jalan raya petang ini.
“Pada masa sukar ini, kami meminta setiap orang menghormati privasi Michail dan keluarganya,” kata kenyataan itu.
Kemalangan itu menjadi perhatian selepas imej kereta Ferrari yang rosak teruk tersebar di media sosial.
Jabatan Bomba Essex turut mengesahkan bahawa anggota bomba berada di lokasi kejadian dan berjaya mengeluarkan seorang lelaki yang terperangkap di dalam kenderaan tersebut.
Antonio, pemain antarabangsa Jamaica kelahiran London, menyertai West Ham pada 2015 dan telah menjaringkan 83 gol dalam 323 penampilan bersama kelab itu.
Musim ini, beliau mencatatkan satu gol dalam 15 perlawanan, termasuk dalam kemenangan 4-1 ke atas Ipswich pada Oktober lalu.
West Ham, yang kini dibimbing oleh Julen Lopetegui, dijadualkan melayan kunjungan Wolves di Stadium London awal pagi Selasa ini.
Namun, kelab itu belum memberikan sebarang kenyataan lanjut mengenai status Antonio untuk perlawanan tersebut.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune