
KPM ambil maklum cadangan tukar nama SJKC Gamuda Cove
BUTTERWORTH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil maklum cadangan untuk menukar semula nama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Gamuda Cove di Dengkil, Selangor kepada nama asalnya SJKC Tun Omar Ong Yoke Lin.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, cadangan itu tidak dianggap sebagai isu sukar namun perlu melalui proses tertentu sebelum sebarang keputusan diambil.
“Kita ambil perhatian berkenaan cadangan (penukaran nama) ini. Saya tidak fikir ia perkara yang sukar, tetapi kita ada proses tertentu dan kita mendengar semua pandangan yang dikemukakan,” katanya ketika ditemui selepas menyertai acara larian Khazanah Reformasi Walk di Seberang Jaya, di sini, pada Ahad.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur menyatakan hasrat untuk membawa cadangan itu ke mesyuarat Kabinet.
Menurut Ahmad Zahid, cadangan yang dikemukakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong itu bertujuan mengembalikan penghormatan terhadap nama asal yang diluluskan pada 2017.
“Ini bukan isu perkauman tetapi melibatkan penghormatan kepada sejarah. Nama asal itu dipersetujui pada 26 Oktober 2017, tetapi digugurkan ketika majlis pecah tanah pembinaan SJKC Gamuda Cove pada Disember lalu,” katanya.
Tun Omar Ong Yoke Lin, nama yang dicadangkan untuk dikembalikan, adalah seorang tokoh kemerdekaan negara dan antara anggota Kabinet pertama selepas kemerdekaan.
Ka Siong turut berkata, nama asal itu diluluskan oleh bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai penghormatan kepada jasa Tun Omar yang merupakan pengasas MCA dan pejuang kemerdekaan.
KPM dijangka memberikan maklum balas lanjut selepas cadangan itu melalui proses penilaian dan pertimbangan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |