Berita Semasa

Budak perempuan hilang ketika mandi sungai ditemui lemas

KOTA BELUD – Seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Kampung Piasau semalam, ditemui lemas pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, mayat mangsa Lysbet Tom Jones, 10, ditemukan pada pukul 8.36 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama penduduk kampung.

“Mangsa dijumpai kira-kira 600 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang. Mayatnya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.40 pagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Syazwan operasi SAR dimulakan semula pada pukul 8.10 pagi tadi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung.

Kejadian itu berlaku sekitar pukul 2.30 petang semalam ketika mangsa sedang mandi di sungai bersama beberapa rakannya.

Pihak BBP Kota Belud menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.41 petang sebelum menggerakkan operasi SAR.

Tragedi itu mencetuskan rasa pilu dalam kalangan penduduk setempat yang turut berperanan membantu usaha mencari dan menyelamat mangsa.

Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan ketika beraktiviti di kawasan sungai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button