
Menteri Pertahanan sempurnakan majlis graduasi 270 pegawai ATM
PUTRAJAYA – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini telah menyempurnakan majlis graduasi bagi 270 orang Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada ketiga-tiga cabang Perkhidmatan (Darat, Laut dan Udara).
Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF), graduan yang terlibat terdiri daripada peserta Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT), dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) yang diletakkan di bawah naungan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS).
Katanya, majlis graduasi itu melibatkan Pegawai Angkatan Tentera Negara Asing serta Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) daripada kementerian dan agensi kerajaan iaitu MINDEF, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sesi pertama menyaksikan penganugerahan sijil kursus dan lencana MKN kepada 22 orang penuntut Kursus MKN Siri 5/2024 yang terdiri daripada 18 orang Pegawai Kanan berpangkat Brigedier Jeneral dan Kolonel setaraf daripada ketiga-tiga cabang Perkhidmatan ATM serta empat orang Pegawai Kanan Negara Asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, bagi sesi kedua pula, Menteri Pertahanan merakamkan penganugerahan Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) beserta sijil kursus dan lencana MPAT kepada 61 orang penuntut Kursus MPAT Siri 44/2024.
Ia meliputi Pegawai Kanan berpangkat Leftenan Kolonel setaraf daripada ketiga-tiga cabang Perkhidmatan ATM, 6 orang Pegawai Kanan Negara Asing serta masing-masing seorang bagi Pegawai Kanan APMM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Pengajian MPAT bertujuan melahirkan Pegawai Kanan Tentera dan awam yang yang dapat berinteraksi secara efisen dengan badan pemerintah, ahli akademik dan cendekiawan bagi aspek pertahanan dan keselamatan,” katanya.
Bagi sesi terakhir, seramai 141 orang penuntut Kursus MTAT Siri 53/2024 berpangkat Mejar dan setaraf daripada ketiga-tiga cabang Perkhidmatan ATM, 36 orang Pegawai Tentera Negara Asing dan masing-masing seorang bagi Pegawai APMM dan PDRM telah dianugerahkan diploma beserta sijil bagi kursus MTAT.
“Kursus MTAT ini meletakkan objektif utama bagi melahirkan pemimpin yang berkualiti dan memiliki kemahiran merancang, melaksanakan dimensi peperangan serta pengurusan sumber dalam domain peperangan bersama,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |