Kerjasama industri dan universiti penting untuk majukan sektor semikonduktor – PM Anwar
GEORGE TOWN – Kejayaan dalam sektor industri semikonduktor memerlukan kerjasama antara industri dan institusi pendidikan untuk melahirkan jurutera berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan serta tuntutan industri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, universiti tidak seharusnya bersifat utilitarian semata-mata, tetapi perlu dikembangkan sebagai pusat pembelajaran yang mempersiapkan masyarakat untuk menghadapi anjakan transformasi masa depan.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah penting terutamanya dalam mendukung ekosistem ini dengan menekankan keperluan penambahbaikan di pelabuhan, lapangan terbang, dan rangkaian bekalan.
“Saya telah mengumumkan dana sebanyak RM50 juta bagi menunjukkan komitmen dalam membangunkan modal insan dan infrastruktur yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri telah hadir merasmikan Penang Silicon Design @5km+ di Eastin Hotel di sini pagi tadi.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Pulau Pinang terus melangkah ke hadapan sebagai hab strategik dalam industri semikonduktor, dengan penekanan kepada reka bentuk cip dan aspek daya cipta.
Beliau berkata, ia adalah bukti bahawa Malaysia sedang melaju memperkukuh kedudukan dalam peta semikonduktor global.
“Saya yakin kita mampu melonjak Malaysia ke era baharu dengan industri berteknologi tinggi yang memberi peluang kepada masyarakat rencam kaum di Malaysia,” ujarnya.
Dalam kenyataan yang sama, Anwar turut melahirkan pengharagaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Penang Development Corporation (PDC), dan InvestPenang.
“Sebagai anak negeri, saya berbangga melihat ekonomi Pulau Pinang terus melonjak demi Malaysia,” ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune