
Kerajaan peruntuk RM1.02 bilion baik pulih, bina 34,470 rumah dalam dua tahun
KUALA LUMPUR – Dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, Kerajaan Madani telah membelanjakan RM1.02 bilion untuk membaik pulih serta membina 34,470 unit rumah dalam tempoh dua tahun yang lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyumbang kepada pembaikan 4,814 unit rumah dan pembinaan 245 unit rumah baharu dengan peruntukan sebanyak RM104.4 juta.
Pada masa yang sama, Kor Ming berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memainkan peranan besar dengan membaik pulih 23,458 unit rumah dan membina 5,953 unit rumah baharu menggunakan peruntukan sebanyak RM920.4 juta sejak tahun lalu.
“Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Madani dalam meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya untuk golongan miskin dan miskin tegar,” katanya dalam kenyataan semalam
Mengulas lanjut, Kor Ming menjelaskan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah memperkenalkan Sistem Ciri-Ciri Spatial Desa Malaysia (S-CHARMs) bagi memperkasakan komuniti desa.
Katanya, menerusi sistem itu, sejumlah 19,474 maklumat sempadan dan profil kampung, termasuk maklumat kemudahan awam kampung di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya dicerap.
“S-CHARMs diintegrasikan dengan Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional di bawah KKDW untuk mempercepatkan pelaksanaan projek kemudahan asas dan infrastruktur berdasarkan data sebenar serta meningkatkan aktiviti perancangan dan pembangunan kawasan desa.
“Inisiatif ini memastikan pembangunan desa lebih sistematik dan efisien, memberikan manfaat langsung kepada penduduk luar bandar,” jelasnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |