Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Taaveekun harumkan nama Malaysia, peroleh pensijilan Q Shop di Thailand

KUALA LUMPUR – Kumpulan Taaveekun, sebuah syarikat baja terkemuka, terus mengangkat nama Malaysia di peringkat antarabangsa apabila pusat jualannya di Hatyai, Thailand menerima pensijilan Q Shop di bawah Projek Kedai Faktor Pengeluaran Pertanian Berkualiti.

Pengasas dan presiden syarikat, Md Fadzilah Ariffin berkata, pengiktirafan itu diberikan kepada anak syarikatnya iaitu Taaveekun Agro Thai oleh Jabatan Pertanian negara jiran itu bagi membendung syarikat yang tidak mempunyai etika dalam menjual produk mereka.

Menurut beliau, Q Shop akan menaik taraf pusat jualan atau kedai untuk menjual faktor pengeluaran berkualiti tinggi yang merupakan penyelesaian langsung kepada masalah petani dari segi faktor pengeluaran.

“Faedah untuk pusat jualan dan kedai yang menerima sijil Q Shop termasuk maklumat tentang pembaharuan lesen sebelum lesen tamat, analisis sampel produk percuma untuk pemeriksaan awal dan simbol Q-Shop sebagai jaminan kualiti.

“Maklumat Q Shop lain termasuk dokumen akademik daripada Jabatan Pertanian dan persatuan baja, bahan berbahaya dan perniagaan spesies tumbuhan yang dimiliki pusat jualan atau kedai,” katanya dalam kenyataan di sini.

Presiden Kumpulan Taaveekun, Md Fadzilah Ariffin

Pada masa ini terdapat 1,893 kedai yang mendapat Q Shop dan Jabatan Pertanian Thailand bercadang untuk mengembangkan jumlah pusat jualan dan kedai Q Shop di seluruh negara itu kepada 2,000 pada tahun ini.

Sebelum ini, Kumpulan Taaveekun turut melakar sejarah apabila dipilih sebagai penerima Pencapaian Kecemerlangan Profesional di Indonesia yang diberikan kepada Md Fadzilah.

Anugerah itu diberikan oleh Kamar Entrepreneur Indonesia (KEIND) dalam satu majlis di Jakarta yang menghimpunkan usahawan kecil, sederhana dan besar dalam satu forum kerjasama.

Mengulas lanjut, Md Fadzilah memberitahu, pensijilan Q Shop tidak mudah diperolehi kerana syarikatnya perlu memenuhi kriteria ketat seperti kursus, pemeriksaan secara rawak dan kebersihan premis yang ditetap oleh pihak berkuasa pertanian negara jiran itu.

Katanya, pusat jualan atau kedai yang memiliki Q Shop mesti mempunyai penyelia jualan dengan ijazah sarjana muda dalam bidang pertanian atau ijazah sarjana muda dengan sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman menjual dalam pengeluaran pertanian.

Pensijilan Q Shop di Thailand tidak mudah diperolehi kerana syarikat perlu memenuhi kriteria yang ketat.

Selain itu ujar beliau, kakitangan premis itu juga perlu mempunyai sijil vokasional yang lebih tinggi dalam pertanian dengan sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman.

“Kriteria lain adalah kakitangan yang mempunyai sekurang-kurangnya empat tahun pengalaman dalam menjual faktor pengeluaran pertanian yang telah disahkan oleh persatuan terlibat dalam baja, bahan berbahaya dan varieti tumbuhan.

“Justeru, dengan pensijilan Q Shop ini, ia secara tidak langsung akan membantu menghapuskan kedai input pertanian yang menjual produk substandard dan berkualiti rendah dalam negara,” katanya.

Selain pusat jualan di Hatyai, Taaveekun Agro Thai juga memiliki kedai pengedar yang terletak di Yala, Pattalung dan Satun selain sedang bekerjasama dengan tiga koperasi di wilayah Selatan itu dalam usaha mengembangkan pasaran.

Selain pusat jualan di Hatyai, Taaveekun Agro Thai juga memiliki kedai pengedar yang terletak di Yala, Pattalung dan Satun

Mengulas lanjut, Md. Fadzilah berkata, sebaik sahaja pusat jualan di Hatyai beroperasi pada Mei lalu, pihaknya terus membuat permohonan untuk mendapatkan sijil Q Shop dan kelulusan memperolehinya diterima tiga bulan kemudian.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan dedikasi dan usaha keras seluruh warga kerja syarikat tetapi juga menunjukkan sokongan padu dan luar biasa daripada pelanggan yang setia bersama kami.

“Ia juga satu pencapaian hebat sekali gus membuktikan keunggulan produk jenama Taaveekun dalam arena industri pertanian menerusi penghasilan kandungan produk berkualiti untuk dikongsi dengan orang ramai,” katanya.

Beliau turut berkongsi rahsia kejayaan mencipta nama di luar negara kerana memiliki hubungan baik dengan pemain industri Thailand selain kepercayaan pelanggan ke atas produk yang berkualiti tinggi.

Ketika ini, Taaveekun yang beribu pejabat operasi di Kota Sarang Semut dan kilang pengeluaran di Bukit Kayu Hitam di Kedah memasuki pasaran secara serius di Hatyai sejak lima tahun lalu.

Tahun lalu, jualan runcit di sana mencecah RM4 juta setahun manakala eksport baja menerusi syarikat bersekutunya di Bangkok ke Malaysia mencecah hampir RM40 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button