Berita Semasa

Pelupusan aset sebagai langkah strategik, bukan penyelesaian jangka pendek – LTAT

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menjelaskan bahawa pelan penstrukturan semula yang dirujuk di Parlimen semalam tidak dibatalkan, sebaliknya ia telah diperhalusi untuk menangani cabaran semasa dan peluang yang muncul selaras dengan situasi pasaran terkini.

Menurut LTAT, pelan penstrukturan baharu ini mencerminkan kepekaan dan daya tindak LTAT dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam menangani isu kestabilan kewangan, mengurus liabiliti, mempelbagaikan pelaburan dan membina portfolio yang kompetitif serta demi kepentingan semua pihak pemegang taruh.

Tegas LTAT, inisiatif pelupusan aset adalah suatu langkah strategik, bukannya penyelesaian jangka pendek.

“Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap pelaburan dalam Boustead-Affin dan selaras dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menggesa LTAT untuk mempelbagaikan portfolio.

“Tatakelola dan proses pelupusan aset yang telus di setiap entiti Kumpulan LTAT adalah untuk memastikan penjanaan nilai optimum dapat dihasilkan dan dilaburkan semula ke dalam aset berdaya tinggi untuk meningkatkan daya tahan kewangan LTAT serta menjamin kebajikan pencarum LTAT dalam jangka panjang.

“Transaksi akan dilaksanakan dengan ketelusan dan integriti yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah LTAT, semua transaksi yang dilakukan adalah sejajar dengan kepentingan strategik negara seperti yang digariskan dalam Kerangka Ekonomi Madani.

Berhubung dengan tanah di Batu Kawan, LTAT menegaskan bahawa LTAT serta syarikat kumpulannya tidak memiliki sebarang tanah di kawasan tersebut.

“Kenyataan mengenai pelupusan tanah ini adalah tidak benar dan mengelirukan,” tegasnya.

Mengenai Transaksi EcoWorld, LTAT berkata, Boustead Properties telah menjemput 19 syarikat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma swasta, untuk menyertai proses Notis Pelawaan Cadangan
(RFP).

Katanya, daripada 10 syarikat yang menyatakan minat, hanya satu syarikat iaitu EcoWorld, syarikat milik majoriti Bumiputera, telah mengemukakan cadangan setelah melalui proses tender yang ketat dan telus.

“EcoWorld, melalui syarikat usaha sama Mutiara Balau Sdn Bhd (MBSB), di mana BProp merupakan pemegang saham minoriti, telah dipilih selepas penilaian yang menyeluruh.

“Faktor utama dalam keputusan ini termasuk tawaran komersial kompetitif EcoWorld, cadangan pembangunan yang inovatif, kedudukan kewangan yang kukuh, dan rekod pencapaian yang terbukti di Malaysia serta pasaran antarabangsa,” jelasnya.

LTAT berkata, pelupusan tanah di Semenyih kepada MBSB bertujuan untuk memacu pertumbuhan kawasan pinggir bandar yang sedang berkembang, meningkatkan nilai, serta menyokong objektif Ekonomi Madani.

Selain itu, katanya hasil tunai daripada transaksi ini akan memainkan peranan penting dalam membiayai program penanaman semula kelapa sawit oleh Boustead Plantation Bhd (BPlant), memastikan pemulihan tanah yang telah matang dan meningkatkan kecekapan operasi.

“Pendekatan strategik ini bukan sahaja akan mengukuhkan kelestarian jangka panjang syarikat, tetapi juga sejajar dengan keutamaan negara melalui pengoptimuman penggunaan tanah untuk pertumbuhan ekonomi.

“Berganding bersama dengan GLC lain, sebarang transaksi korporat Kumpulan LTAT bertujuan untuk menyokong pembangunan sektor strategik ekonomi utama, termasuk industri berimpak tinggi seperti semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui, yang menyumbang secara signifikan kepada kemajuan ekonomi Malaysia,” katanya.

LTAT berkata, pelan penstrukturan baharu ini bertujuan untuk mengurangkan penumpuan asetnya dalam pelaburan Boustead-Affin kepada 35 peratus, berbanding sasaran 50 peratus dalam pelan sebelumnya.

Langkah ini, katanya akan memberi penyelesaian jangka panjang yang lebih mampan terhadap cabaran portfolio LTAT, selaras dengan cadangan PAC.

“LTAT kekal komited untuk menjaga kepentingan pencarumnya dan memastikan keselamatan kewangan mereka.

“Melalui penekanan terhadap pertumbuhan strategik, pengurusan aset yang berhemah dan berhikmah, dan kelestarian jangka panjang dana, LTAT melaksanakan langkah bertanggungjawab untuk membina masa depan yang stabil dan berdaya tahan demi kesejahteraan semua pencarum,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button