Berita Semasa

Menteri Wilayah nafi keluarkan kenyataan adendum penahanan rumah

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa hari ini menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan media berkenaan adendum penahanan rumah.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan itu adalah palsu dan tidak bertanggungjawab.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan media palsu ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Polemik mengenai adendum berkenaan kembali tular sejurus titah adendum dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Disember untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum.

Bagaimanapun, prosiding yang dijadual semalam ditangguhkan berikutan pengemukaan afidavit sokongan yang dikemukakan anak beliau, Nizar Najib pada 2 Disember lepas.

Afidavit itu didakwa mengandungi bukti sah kewujudan Titah Adendum berkenaan.

Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib, 71, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan Titah Adendum itu, selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan Najib, termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button