Berita SemasaPM X

Kehilangan Batu Puteh pengkhianatan besar kepada negara – PM Anwar

PUTRAJAYA– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengendalian isu kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan yang menunjukkan kelemahan besar sehingga negara kehilangan Batu Puteh adalah satu pengkhianatan besar kepada negara.

Menurut Anwar, laporan RCI mendedahkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menarik balik permohonan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bukanlah perkara kecil.

“RCI itu mendedahkan kelemahan, bahkan dari satu sudut pengkhianatan yang berlaku kerana setiap inci tanah kita itu patut kita perjuangkan habis-habisan

“Tapi nampak ada satu kegagalan. Ini didedahkan (dalam RCI).

“Bagi saya, bukan satu perkara yang ringan iaitu apa-apa kesalahan yang terbabit dalam soal menyerahkan kedaulatan dianggap satu pengkhianatan besar kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Putrajaya hari ini.

Semalam, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr. Mahathir.

Prosiding diusulkan susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).

Tindakan berkenaan merupakan antara disyorkan RCI itu dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Khamis.

Laporan akhir yang diklasifikasikan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.

Suruhanjaya itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

“Suruhanjaya mencadangkan agar satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan dimulakan,” menurut laporan itu.

Laporan itu turut mendedahkan, tindakan Peguam Cara Negara yang memaklumkan kepada Singapura bahawa Malaysia tidak berhasrat meneruskan Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bukan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri.

Menurutnya, keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkenaan adalah berdasarkan surat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek.

Keterangan yang didapati Suruhanjaya juga menunjukkan keputusan berkenaan disampaikan kepada Singapura pada pagi 23 Mei 2018, sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri bermula pada jam 9.30 pagi.

“Surat Peguam Cara Negara tidak menyatakan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan adalah keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagaimana yang dinyatakan Tun Dr Mahathir.

“Adalah juga diperhatikan bahawa Tun Dr Mahathir tidak mempertikaikan dan/atau menafikan mahu pun membetulkan kandungan surat Peguam Cara Negara itu bagi memperjelas bahawa surat beliau bertarikh 21 Mei 2018 hanyalah satu pendapat semata-mata dan bukanlah keputusan atau arahan.

“Dengan alasan-alasan itu, Suruhanjaya tidak dapat menerima dakwaan Tun Dr Mahathir bahawa surat bertarikh 21 Mei 2018 supaya Malaysia tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkenaan adalah suatu pendapat beliau semata-mata sebaliknya surat tersebut adalah suatu keputusan,” menurutnya.

Sebagai rekod, pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer (km) dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button