Berita Semasa

Banjir: 267 daripada 323 stesen pemancar komunikasi terjejas pulih sepenuhnya

RAUB – Kementerian Komunikasi akan terus meningkatkan usaha bagi memastikan tahap kesalinghubungan dan perkhidmatan internet di negeri yang dilanda bencana banjir berada pada tahap terbaik demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, langkah itu merupakan inisiatif menaik taraf menara yang sering dilanda banjir, khususnya di kawasan pedalaman dan terpencil.

“Antara inisiatif lain yang telah diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menambah baik perkhidmatan semasa musim banjir termasuklah pemasangan WiFi percuma di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) oleh penyedia perkhidmatan.

“Sebanyak 18 dipasang di PPS negeri Kelantan dan lima lagi di PPS Terengganu. MCMC turut bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan untuk melakukan hebahan awal bencana melalui sebaran khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Nie Ching mengadakan lawatan ke Kampung Pintu Padang di sini untuk meninjau tahap kesalinghubungan dan perkhidmatan internet serta menyampaikan sumbangan berupa bantuan makanan asas daripada syarikat telekomunikasi CelcomDigi kepada 47 buah keluarga yang terkesan akibat banjir.

Ketika melawat menara di Kampung Tanjung Putus yang telah mula beroperasi pada 23 Ogos 2023 itu, pihaknya dapati ia kerap dinaiki air semasa banjir dan langkah intervensi telah diambil dengan menaikkan platform setinggi tiga meter bagi memastikan menara berkenaan masih mampu beroperasi dengan baik.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang yang juga ADUN Dong, Fadzli Mohamad Kamal.

Sementara itu katanya, hingga Oktober lalu, sebanyak 446 tapak stesen pemancar komunikasi telah siap diperkasakan di seluruh negara oleh syarikat telekomunikasi yang lokasinya telah dikenal pasti berisiko tinggi dinaiki air, termasuk 110 tapak pemancar di Pahang.

“Selain itu, sebanyak 267 daripada 323 stesen pemancar komunikasi terjejas di seluruh negara akibat bencana banjir telah pulih dan kembali beroperasi, manakala 56 stesen pemancar masih belum beroperasi berpunca daripada akses jalan yang masih dinaiki air, bekalan elektrik yang terputus dan sebagainya.

“Di Pahang, sebanyak tiga tapak pemancar komunikasi di Temerloh dan enam buah lagi di Raub telah terjejas akibat banjir sebelum ini juga telah pulih dan beroperasi semula,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button