
Kurang agresif dalam situasi sepakan sudut punca United tewas 2-0 di tangan Arsenal – Amorim
LONDON – Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, menyifatkan kegagalan pasukannya untuk bermain dengan lebih agresif ketika berdepan sepakan sudut Arsenal menjadi faktor utama kekalahan 2-0 kepada pasukan lawan itu, dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.
Pertahanan Arsenal, Jurrien Timber dan William Saliba, masing-masing menjaringkan gol daripada sepakan penjuru pada separuh masa kedua, sekali gus memastikan kekalahan pertama Amorim sebagai pengendali United.
Kekalahan ini menyebabkan United berada di kedudukan ke-11 dalam carta Liga Perdana Inggeris dengan hanya 19 mata daripada 42 mata maksimum yang boleh diperoleh.
Dalam perlawanan tersebut, United tidak berjaya memperoleh walau satu sepakan penjuru, manakala Arsenal mempunyai 19 peluang sepakan sudut dan kelihatan sangat berbahaya setiap kali melakukannya.
Selepas wisel penamat, Amorim berkata, sepakan sudut telah mengubah permainan dan United sepatutnya perlu lebih agresif di kawasan kotak penalti Arsenal.
“Sehingga saat itu, permainan tidak banyak menghasilkan peluang untuk kedua-dua pasukan, tetapi sepakan sudut itu mematikan permainan.
“Mereka boleh menempatkan ramai pemain di kawasan berhampiran penjaga gol, dan hampir mustahil untuk kami bersaing merebut bola. Namun, kami perlu mencari jalan untuk mempertahankan situasi tersebut, dan kami sedar kami perlu menjadi lebih baik.
Amorim turut menambah, sekiranya Matthijs de Ligt berjaya menjaringkan gol pada minit ke-67, momentum permainan pasti pasti akan berubah, namun anak buahnya tewas dalam situasi sepakan percuma itu.
“Kami cuba bermain seperti biasa, tetapi Arsenal adalah pasukan yang sangat teratur dan sukar untuk ditembusi.
“Saya rasa para pemain mengawal permainan dengan baik, tetapi sepakan sudut itu mengubah keadaan pada separuh masa kedua,” tambahnya.
Pada perlawanan seterusnya, Manchester United akan berdepan Nottingham Forest pada hari Ahad di Old Trafford.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |