
KESUMA lancar Garis Panduan Aturan Kerja Fleksibel
PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) secara rasminya hari ini melancarkan Garis Panduan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) bagi memperkasakan pekerja dan juga membantu majikan mengoptimumkan sumber manusia dan kos pengoperasian syarikat.
Menurut KESUMA, garis panduan itu selaras dengan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 [Pindaan] 2022 dibawah seksyen 60P dan 60Q yang memberi hak kepada pekerja untuk memohon AKF bagi memenuhi keperluan semasa dan adaptasi teknologi.
“Garis Panduan ini bertindak sebagai mekanisme pelaksanaan AKF kerana ia mengandungi semua elemen penting yang perlu diketahui oleh semua pihak khususnya pekerja dan juga majikan.
“Ini termasuklah takrifan AKF, kaedah melaksanakan AKF, tatacara permohonan oleh pekerja, tanggungjawab pekerja dan juga tanggungjawab majikan dalam proses pelaksanaan AKF,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah kenyataan itu, KESUMA melalui kerjasama strategik Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) akan terus memberikan bimbingan dan tunjuk ajar berhubung pelaksanaan AKF mengikut kesesuaian masa, tempat dan golongan sasar.
Malah, melalui kolaborasi ini, KESUMA berkata, pihaknya akan dapat menyebarluaskan maklumat dan meningkatkan pemahaman semua pihak berhubung kepentingan AKF dan seterusnya menjayakan usaha untuk membudayakan AKF di dalam semua lapangan dan bentuk pekerjaan.
“JTKSM dan TalentCorp telah mengambil langkah proaktif dalam mempromosikan Aturan Kerja Fleksibel (AKF), dan usaha ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pemain industri serta para pemegang taruh,” ujarnya.
Sementara itu, KESUMA berkata, pihaknya juga sentiasa terbuka menerima cadangan penambahbaikan daripada semua pihak yang terlibat bagi memastikan pelaksanaan AKF dapat terus ditingkatkan dan memenuhi keperluan tenaga kerja masa kini.
“KESUMA menyeru semua pihak agar terus dapat memberikan sokongan kepada pelaksanaan AKF demi membudayakan keseimbangan hidup bekerja dengan hidup berkeluarga atau ‘work life balance’,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |