Berita Semasa

Kerajaan tiada perancangan perkenal cukai baharu – Kementerian Kewangan

Fokus pada pematuhan, tambah baik sistem sedia ada

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan memperkenalkan sebarang cukai baharau dalam masa terdekat.

Menurut Kementeria Kewangan, fokus kerajaan pada masa ini adalah untuk meningkatkan pematuhan dan menambah baik sistem cukai sedia ada, selain melaksanakan langkah-langkah cukai yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2025.

“Kerajaan terlebih dahulu akan mengambil kira keperluan hasil, kedudukan ekonomi semasa, struktur, batasan dan cabaran sistem percukaian negara secara keseluruhan, ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan dan lebih penting adalah kesan dan kesediaan rakyat,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Dewan Negara.

Kementerian tersebut berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Senator Datuk Seri S. Vell Paari yang mahu tahu sama ada kerajaan merancang untuk memperkenalkan cukai baharu dalam tempoh terdekat dan sekiranya ada, apakah langkah diambil oleh kementerian untuk memastikan cukai itu tidak membebankan rakyat memandangkan kos sara hidup semakin meningkat.

Setakat ini, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan cukai minimum global mulai 1 Januari 2025 terhadap syarikat multinasional yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta euro dan kenaan cukai dividen pada kadar dua peratus mulai tahun taksiran 2025 ke atas pendapatan dividen.

Selain itu, turut dilaksanakan adalah pelaksanaan e-invois mulai 1 Ogos lalu secara berperingkat kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta dan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) secara berfasa berdasarkan kepada jenis surat cara atau perjanjian.

Dalam pada itu, semakan semula kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan akan bermula pada 1 Mei 2025 dan semakan semula kadar duti eksais ke atas produk minuman bergula pula dijalankan mulai 1 Januari 2025.

Kementerian Kewangan turut berkata, kerajaan akan terus memastikan langkah-langkah cukai diumumkan bersifat lebih progresif, mudah ditadbir, tidak memberi impak negatif kepada kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi, pada masa sama dapat menjana hasil yang mampan kepada kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button