Berita Semasa

Budaya sarapan di Malaysia diiktiraf sebagai warisan UNESCO

KUALA LUMPUR – Budaya Sarapan di Malaysia: Pengalaman Menjamu Selera Masyarakat Pelbagai Etnik telah disenaraikan di bawah Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, UNESCO.

Pengumuman itu telah dibuat oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara (IGC ICH) semasa sesi ke-19, IGC ICH yang berlangsung di Asuncion, Paraguay pada 2 hingga 7 Disember lalu.

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), badan penilai memutuskan Budaya Sarapan di Malaysia telah memenuhi semua kriteria yang digariskan oleh Konvensyen 2003 untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara, UNESCO.

“MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) telah mengemukakan dokumen pencalonan Budaya Sarapan di Malaysia kepada pihak sekretariat UNESCO pada 30 Mac 2023.

“Ia merupakan pencalonan pertama yang berkaitan dengan makanan dan gastronomi Malaysia,” kata MOTAC dalam satu kenyataan.

Tambah MOTAC, Budaya Sarapan di Malaysia mencerminkan kepelbagaian budaya, keharmonian, penglibatan dan penerimaan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia dan merupakan elemen warisan kebudayaan tidak ketara yang selari dengan kriteria UNESCO.

“Ia sekali gus memberi impak dalam hubungan sosial masyarakat serta mencerminkan kekuatan dalaman Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum,” ujarnya.

Mengulas lanjut, MOTAC berkata, pengiktirafan budaya ini akan menggalakkan lebih banyak usaha perlindungan warisan tidak ketara dapat dilakukan secara sinergi melibatkan banyak pihak m termasuklah pihak kerajaan bersama persatuan dan komuniti tempatan.

“Pengiktirafan ini juga membuktikan komitmen MOTAC dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ketara, sejajar dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) iaitu memfokus kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya.

“Pengiktirafan ini juga menunjukkan kredibiliti Malaysia ke persada dunia sebagai calon yang selayaknya menduduki Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO bagi tahun 2025-2029,” katanya.

Sebagai rekod, pengiktirafan tersebut merupakan hasil usaha kerjasama kolektif semua pihak yang terlibat khususnya warga MOTAC dan Jabatan Warisan Negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button