PendapatRencana

MINDEF tumpu peningkatan penyelidikan teknologi AI

OLEH: Asriezam Uda

PADA 2012, Human Rights Watch dalam artikelnya bertajuk “Losing Humanity: The Case Against Killer Robots” membangkitkan kebimbangan terhadap kecanggihan teknologi dalam merubah corak peperangan masa depan.
Laporan tersebut yang merujuk teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai “robot-robot pembunuh” dikhuatiri melangkaui etika peperangan kerana mampu beroperasi tanpa sebarang mekanisme kawalan yang ketat.

Dan 12 tahun selepas itu, sisi skeptikal terhadap teknologi AI semakin memudar memandangkan teknologi tersebut kini diinovasi menjadi pelengkap kepada ekosistem pertahanan oleh hampir kebanyakan negara. Negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (A.S), China dan Rusia telah mengintegrasikan AI dalam sistem pertahanan dengan program pembangunan yang begitu serius dan sistematik.

A.S. misalnya, menggunakan MQ-9 Reaper Drone yang dilengkapi dengan teknologi AI untuk pengesanan dan pengecaman sasaran autonomi. Teknologi ini membolehkan drone menjalankan misi tempur dan pengawasan tanpa campur tangan manusia.

China pula mengambil pendekatan serupa melalui teknologi drone hipersonik autonomi, WZ-8, yang direka untuk pengintipan dan serangan. Teknologi pertahanan udara China yang dikenali sebagai HQ-9, merupakan sistem pertahanan udara pintar dengan integrasi antara teknologi AI dan radar canggih untuk menangkis ancaman udara dalam masa nyata. Sekutu terapat China, Rusia turut tidak ketinggalan melalui penciptaan Uran-9, sebuah robot tempur autonomi yang dilengkapi dengan senjata berat tanpa perlu dikawal manusia.

Pembangunan teknologi AI ini juga tidak terhad hanya kepada kuasa-kuasa besar. Di Asia Tenggara, negara seperti Singapura melalui ST Engineering turut menjadi antara pelopor teknologi pertahanan AI global melalui penghasilan kapal tempur Multi-Role Combat Vessels (MRCV) yang berfungsi sebagai kapal induk drone. Kapal-kapal ini bukan sahaja dapat dikendalikan oleh manusia, tetapi juga boleh beroperasi tanpa pengemudi.

Ini sekali gus menjadikan Singapura pemain utama dalam pembangunan teknologi pertahanan AI di rantau ini.
Thailand turut mengorak langkah melalui aset terbarunya, D-Iron. Teknologi ini merupakan sebuah kenderaan darat tanpa pengemudi (UGV) yang dibangunkan hasil kerjasama antara Defence Technology Institute (DTI) Thailand dan pengeluar robotik Estonian, Milrem Robotics.

Ujian-ujian yang dijalankan di Saraburi, Thailand, menunjukkan kehebatan D-Iron, terutamanya dalam ujian kelincahan di medan yang mencabar. D-Iron turut dilengkapi dengan R400S-Mk2 Direct Drive-Heavy Duty Remote Weapon Station (RWS) yang dibekalkan oleh Electro Optic Systems, serta senjata M230LF 30 mm mesin gun yang dikeluarkan oleh Northrop Grumman.

Penyelidikan melengkapi ekosistem keselamatan dan ekonomi negara

Melihat kepada perkembangan global ini, kita tidak boleh ketinggalan dalam mengorak langkah yang serupa. Untuk memastikan negara kita sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi pertahanan perlu menjadi keutamaan. Apa yang jelas, R&D adalah kunci utama untuk mendepani cabaran pertahanan moden yang semakin ‘liar’ dan ‘ganas’ terutamanya dalam teknologi fizikal.

Sebenarnya, R&D dalam sektor ini bukan hanya tentang penciptaan teknologi canggih, tetapi juga meliputi kepentingan strategik ekonomi. Ia merupakan sebuah perniagaan global yang melibatkan pemindahan teknologi, kerjasama antarabangsa, dan penguasaan pasaran. Negara-negara besar seperti A.S., China, Rusia, dan Turki telah lama menyedari bahawa teknologi pertahanan merupakan aset serampang dua mata yang bukan sahaja menjaga keselamatan negara, tetapi turut membawa hasil ekonomi.

Sebagai contoh, Turkiye kini menjadi pengeksport utama dalam sektor pertahanan hasil pelaburan besar dalam R&D. Menurut laporan dari Turkish Exporters Assembly, pada tahun 2023, eksport pertahanan dan aero-angkasa Turkiye mencatatkan kira-kira US$5.5 bilion, memperlihatkan peningkatan 25 peratus berbanding tahun sebelumnya. Biarpun laporan tersebut tidak membezakan antara hasil dari pesanan baru dan kontrak yang ditandatangani pada tahun-tahun sebelumnya, jumlah yang besar ini menunjukkan Turkiye semakin kukuh dalam pasaran pertahanan global.

Teknologi canggih yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat seperti Baykar (pengeluar drone tempur Bayraktar TB2) telah menjadi senjata utama dalam misi ketenteraan Turkiye dan kini dieksport ke lebih 20 negara. Bayraktar TB2 terkenal kerana kemampuannya menjalankan serangan udara melalui integrasi teknologi AI hingga membolehkannya membuat pengecaman sasaran dan serangan autonomi secara tepat. Pencapaian Turkiye ini membuktikan bahawa R&D dalam teknologi pertahanan turut membawa pulangan ekonomi.

Negara kita yang turut mempunyai institusi penyelidikan teknologi pertahanan seperti STRIDE perlu memulakan langkah konstruktif agar tidak ketinggalan. Apatah lagi kerajaan khususnya MINDEF kini dilihat memberi fokus dan sokongan yang besar dalam hal ini. Malah, ketika melancarkan Kajian Separuh Penggal untuk Kertas Putih Pertahanan (KPP) beberapa bulan yang lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sendiri telah menghujahkan kepentingan R&D khususnya dalam memberi fokus kepada teknologi AI.

Malah, beliau turut menggesa agar institusi seperti STRIDE perlu memperkasa kerjasama dengan kuasa besar dalam teknologi pertahanan secara holistik, strategik dan radikal. Pandangan Menteri Pertahanan tersebut sememangnya tepat dalam konteks penyelidikan. Ini kerana, tanpa kerjasama yang kukuh dan pelbagai, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, kita akan terus tertinggal dalam dunia teknologi yang berkembang secara sangat pesat.

Bagaimanapun, kita mestilah berpijak pada realiti untuk menyedari bahawa R&D ini memerlukan komitmen jangka panjang dan pelaburan yang tinggi. Ini adalah kenyataan yang harus diterima. Usaha yang sekadar bersifat ‘hangat-hangat tahi ayam’, tidak konsisten dan tidak sistematik merupakan ramuan utama kegagalan. Tanpa peningkatan kapasiti dalam bidang ini, kita berisiko untuk terus ketinggalan dalam persaingan global. Ini tentu sekali memberi implikasi tidak positif kepada ekosistem keselamatan negara secara keseluruhannya.

Penulis adalah Calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perubahan Sosial dan Impak (Sosioeknomi), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan atau mewakili pandangan Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button