Khaled usul kerjasama pertahanan bermakna dalam hubungan AS-ASEAN
OLEH : Fahmiza Mohamad Stephen
ASIA Tenggara kini menjadi tumpuan utama kuasa besar natijah daripada ketegangan geopolitik global melalui persaingan antara Amerika Syarikat (A.S.) dan China. Persaingan ini memberi impak mendalam kepada hampir setiap aspek, terutama dalam dimensi keselamatan dan ekonomi.
Dalam pertemuan tidak rasmi baru-baru ini antara Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dan Setiausaha Pertahanan A.S, Lloyd Austin, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggariskan tiga elemen utama yang perlu ditangani dalam memperkukuh kerjasama pertahanan ASEAN-AS. Pertama, pengiktirafan sentraliti ASEAN. Kedua, kerjasama dalam teknologi pertahanan dan ketiga ASEAN sebagai platform diplomasi global.
Jika diamati, pandangan beliau mencerminkan kesedaran mendalam tentang pentingnya hubungan ini dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin dinamik.
Ia memberikan gambaran tentang bagaimana ASEAN boleh memainkan fungsi dalam menangani ketegangan serantau tanpa mengorbankan autonominya. Apa yang lebih utama, pertemuan ini mengangkat prinsip diplomasi rantau ini yang sejak sekian lama dipegang.
Sentraliti ASEAN sebagai Prinsip Keselamatan Serantau
Prinsip sentraliti ASEAN ada kalanya dipandang remeh oleh negara luar. Namun, kini ia semakin mendapat perhatian dalam keadaan dunia geopolitik yang semakin kompleks.
Dalam dunia yang semakin dipisah-pisahkan mengikut blok politik, ASEAN tidak hanya berperanan menjaga kepentingan anggotanya, bahkan turut memastikan kestabilan serantau terpelihara. Pendekatan ini membantu mengelakkan ketegangan antara kuasa besar daripada melarat menjadi konflik terbuka.
Kita boleh lihat contoh yang jelas dalam isu Laut China Selatan. ASEAN memposisikan dirinya sebagai penyelesai utama dalam pertikaian yang melibatkan China dan negara-negara anggotanya. Pendekatan diplomatik yang sentral ini jelas berbeza dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), yang sering terperangkap dalam domain ketenteraan.
Ketegangan dalam krisis Ukraine menunjukkan bagaimana pendekatan ketenteraan akhirnya menyebabkan situasi meruncing tanpa ruang diplomasi yang konstruktif. Sementara ASEAN, terus berpegang kepada prinsip non-intervensi.
Malah, Mohamed Khaled pernah menegaskan semasa sesi penggulungan peringkat dasar Belanjawan 2025 pada 7 November lalu, bahawa dalam situasi yang penuh dengan tekanan, ASEAN sebenarnya telah berjaya memberi ruang untuk semua pihak berbincang tanpa memihak kepada mana-mana blok geopolitik. Situasi ini mengurangkan risiko konflik berskala besar di rantau ini yang mengutamakan prinsip kestabilan sejagat.
Kestabilan ini penting memandangkan Asia Tenggara mengawal beberapa laluan pelayaran utama yang menjadi nadi kepada perdagangan global. Ketegangan serantau yang tidak ditangani dengan strategik, berisiko mengganggu kemapanan ekonomi dunia.
Diplomasi Teknologi Pertahanan sebagai Pemangkin Keupayaan ASEAN
Kepentingan teknologi pertahanan dihujahkan sebagai sebahagian daripada kunci utama dalam menghadapi ancaman moden. Pandangan yang diketengahkan oleh Menteri Pertahanan ini mempunyai asas yang tersendiri.
Kita tidak boleh menafikan bahawa keupayaan pertahanan moden kini sangat bergantung kepada inovasi seperti kecerdasan buatan (AI) sama ada dalam domain ketenteraan moden mahupun konvensional. Untuk kekal relevan dalam kerangka geopolitik kontemporari, ASEAN mesti memastikan bahawa ia tidak ketinggalan dalam bidang ini. Ia merupakan satu keperluan terutamanya dalam mengekalkan keselamatan serantau dalam apa jua keadaan.
Tanpa adaptasi dan penguasaan teknologi, kita berisiko terpinggir hingga memunculkan ketidakseimbangan pembangunan teknologi A.I dalam domain ketenteraan. Apabila ini berlaku, sekali lagi dominasi teknologi ketenteraan akan dikawal oleh kuasa besar seperti yang berlaku dalam teknologi ketenteraan konvensional.
A.S. sebagai peneraju dalam teknologi ketenteraan berupaya menawarkan peluang besar kepada negara-negara ASEAN untuk memperkukuh pertahanan siber dan mengembangkan teknologi-teknologi ketenteraan AI.
Menurut laporan oleh Brookings Institution, perbelanjaan kerajaan A.S. untuk AI telah meningkat dengan drastik dalam tahun lalu, terutamanya disebabkan oleh pelaburan besar oleh Jabatan Pertahanan A.S. (DoD). Dari Ogos 2022 hingga Ogos 2023, nilai kontrak kerajaan berkaitan AI meningkat hampir 1,200 peratus, dari $355 juta kepada $4.6 bilion.
Sebahagian besar kenaikan ini datangnya dari DoD, yang meningkatkan perbelanjaan kontrak AI daripada $190 juta kepada $557 juta dalam tempoh yang sama. Jika kontrak ini diteruskan ke tahap penuh yang mencecah $4.3 bilion.
Ia merupakan satu lonjakan yang besar berbanding hanya $269 juta pada tahun sebelumnya. Ini membuktikan AS begitu serius dalam membangunkan keupayaan AI dalam pertahanan.
Jika dilihat kepada kesungguhan dan ‘semangat’ AS dalam pembangunan teknologi AI, kerjasama ini setidak-tidaknya membuka ruang untuk ASEAN memperoleh input penting dalam mengembangkan sistem pertahanan sedia ada. Namun, apa yang lebih penting adalah kerjasama ini juga berupaya merapatkan jurang teknologi AI dalam domain ketenteraan.
Perkara ini mengingatkan kembali Mohamed Khaled dalam Persidangan Responsible Artificial Intelligence in the Military Domain (REAIM) di Korea Selatan September lalu yang menekankan tentang perlunya keseimbangan dalam teknologi ketenteraan AI.
Keseimbangan ini penting untuk mengelakkan ‘pembulian’ dan monopoli oleh kuasa-kuasa besar yang sentiasa menunggu peluang untuk menekan rantau ini terutamanya dalam penjualan aset ketenteraan.
ASEAN Sebagai Platform Diplomatik Konstruktif
ASEAN hari ini tidak boleh sekadar menjadi pemerhati dalam arena antarabangsa. Ia perlu memainkan peranan penting sebagai platform untuk perbincangan yang lebih inklusif, bebas daripada pengaruh dan dominasi kuasa besar. Dalam menghadapi cabaran besar ini, apakah lagi pilihan yang lebih tepat selain memperkukuh ASEAN sebagai pusat diplomatik utama?
Tatkala organisasi antarabangsa lain sering terhambat dan terhimpit oleh politik kuasa besar, ASEAN tetap berpegang kepada prinsip diplomasi yang melibatkan semua pihak secara setara. Pendekatan ini membuka ruang untuk perbincangan yang lebih seimbang, tanpa memberi tekanan kepada negara-negara kecil untuk berpihak.
Peranan ASEAN sebagai pengimbang semakin penting. Walaupun berhadapan dengan kuasa-kuasa besar dengan agenda mereka yang berbeza, ASEAN terus memberi ruang bagi perbincangan yang lebih konstruktif. Dalam situasi ini, ASEAN telah berjaya menunjukkan bahawa ketegangan serantau tidak perlu diselesaikan melalui kekerasan atau dominasi pihak luar. Negara-negara anggota ASEAN dapat mencari penyelesaian secara bersama tanpa bergantung sepenuhnya kepada kuasa besar yang sering membawa perpecahan dalam kalangan ahli.
Penulis bersetuju dengan Mohamed Khaled dalam saranan yang dibawa oleh beliau semasa perjumpaan AS-ASEAN ini. Kita mesti bersikap realistik dan strategik. Dalam dunia yang semakin multi-polar dan kompleks, hubungan baik ASEAN-AS berpotensi menawarkan model kerjasama yang pragmatik dan inklusif khususnya dalam aspek pertahanan. Saranan Menteri Pertahanan ini secara tidak langsung menegaskan kepentingan kita mesti akui bahawa model ini lebih berdaya tahan berbanding pendekatan blok ketenteraan lain yang sering memicu ketegangan.
Nilai diplomasi yang dibawa rantau ini menjadi ukuran penting dalam mewujudkan suasana geopolitik global yang lebih aman, makmur dan adil.
Penulis adalah calon Doktor Falsafah di Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS), Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan atau mewakili pandangan Malaysia Tribune.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune