Berita Semasa

Bekas Peguam Negara dilantik Pengerusi MyCC yang baharu

PUTRAJAYA – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang baharu berkuat kuasa mulai 25 November lalu sehingga 24 November 2027.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pelantikan itu adalah bagi mengisi kekosongan setelah mantan pengerusi iaitu Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkuatkuasa 3 Julai 2024.

“Idrus memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya dan pernah menyandang pelbagai jawatan penting, termasuk sebagai Peguam Negara dengan rekod perkhidmatan selama lebih 40 tahun.

“Sepanjang kerjaya beliau telah berkhidmat sebagai Pegawai Undang-Undang, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan.

“Beliau juga telah dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman pada 1 November 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, pelantikan itu dibuat di bawah seksyen 5(1)(a) Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 [Akta 713].

“Berdasarkan pengalaman luas dan kepakaran yang dimiliki, saya yakin pelantikan beliau akan memastikan kesinambungan usaha pemerkasaan peranan MyCC sebagai salah satu agensi di bawah KPDN.

Selain itu, Armizan juga berharap beliau dapat membawa hasrat agenda reformasi kerajaan melalui pindaan Akta Persaingan 2010 [Akta 712] untuk memperkasakan lagi kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC termasuk memperkenalkan rejim penggabungan dan pengambilalihan untuk menghalang pembentukan awal kartel atau monopoli yang bermasalah.

“Saya turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi MyCC atas segala jasa dan sumbangan beliau kepada MyCC dan negara sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button