
RUU Komunikasi dan Multimedia 2024: Satira dan parodi diiktiraf
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 yang dibentangkan semalam membawa perubahan besar kepada tafsiran undang-undang berkaitan kandungan dalam talian, termasuk pengiktirafan terhadap satira dan parodi.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, pindaan itu menunjukkan langkah positif kerajaan dalam melindungi ekspresi kreatif dan kritikan.
Beliau merujuk kepada Fasal 91 RUU tersebut yang memperkenalkan “huraian” baharu untuk memperjelaskan elemen seperti lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik sifatnya.
“Huraian itu menyatakan bahawa kandungan berbentuk satira atau parodi atau yang jelas bersifat fiksyen tidak boleh dianggap sebagai palsu dan jika diluluskan, ini akan memberi perlindungan lebih baik kepada seni dan kritikan,” katanya dalam kenyataan.
Syahredzan turut mengimbau kembali kes aktivis Fahmi Reza pada 2016 yang disabitkan bersalah di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana hantaran berbentuk parodi.
“Dalam kes itu, Mahkamah Sesyen menolak pembelaan berdasarkan parodi kerana Akta 588 tidak mengiktirafnya sebagai alasan yang sah.
“Fahmi Reza dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000, walaupun hukuman diringankan di Mahkamah Tinggi, sabitan kesalahan tetap kekal.
“Pindaan itu jika diluluskan lapan tahun lalu, akan membebaskan beliau daripada tuduhan itu,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, pindaan itu bukan sahaja mengiktiraf satira dan parodi tetapi turut memperkenalkan ambang baharu bagi elemen “jelik” yang kini perlu memenuhi tahap “jelik yang melampau” untuk dianggap sebagai jenayah.
“RUU itu dijangka mencetuskan perdebatan di kalangan masyarakat, dengan pelbagai pandangan dijangka diberikan sama ada menyokong atau membantah perubahan ini,” katanya lagi.
Syahredzan menegaskan, pengiktirafan terhadap satira dan parodi adalah langkah penting untuk memastikan kebebasan bersuara terus terjamin di negara ini.
RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dijangka dibahas secara terperinci di Parlimen dalam masa terdekat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |