
KKM pastikan akses perkhidmatan kesihatan terus berfungsi ketika banjir
PUTRAJAYA – Banjir besar yang melanda tiga negeri tidak menghalang Kementerian Kesihatan (KKM) daripada memastikan perkhidmatan kesihatan terus diberikan kepada penduduk terjejas.
Setakat pukul 9 pagi tadi sebanyak 98 fasiliti kesihatan awam terjejas akibat bencana ini, namun pelan tindakan segera telah dilaksanakan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 50 fasiliti terpaksa menghentikan operasi di lokasi asal dan memindahkan perkhidmatan ke fasiliti alternatif.
Walau bagaimanapun katanya, baki 48 fasiliti masih beroperasi meskipun dinaiki air.
“Di Kelantan sebanyak 30 fasiliti kesihatan masih boleh beroperasi walaupun terjejas banjir, manakala 34 lagi terpaksa berpindah operasi kerana akses ke lokasi terputus,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, di Terengganu, 17 fasiliti kesihatan kekal beroperasi, manakala 13 fasiliti telah memindahkan perkhidmatan ke lokasi alternatif.
Di Kedah, tiga fasiliti berpindah operasi, dengan satu fasiliti masih beroperasi seperti biasa.
Langkah pemindahan itu adalah sebahagian daripada usaha KKM memastikan perkhidmatan kesihatan asas tidak terhenti walaupun dalam situasi mencabar.
Berdasarkan maklumat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 5 petang tadi, banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah telah menjejaskan seramai 69,264 mangsa daripada 20,970 keluarga.
Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 44,415 orang, diikuti Terengganu (18,085) dan Kedah (6,775).
Dzulkefly berkata, fokus utama KKM adalah memastikan semua mangsa banjir terutama golongan rentan seperti warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik menerima rawatan yang diperlukan.
“Banjir tidak seharusnya menjadi penghalang untuk rakyat mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Kami komited untuk memastikan tiada siapa yang tercicir,” tegasnya.
KKM turut mengingatkan orang ramai di kawasan banjir agar menjaga kebersihan dan kesihatan serta segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala penyakit bawaan air.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |