
Dakwaan keganasan rumahtangga, suami Zahnita Wilson direman
PETALING JAYA – Suami kepada pelakon dan bekas model terkenal, Zahnita Wilson ditahan polis susulan dakwaan keganasan rumah tangga yang tular selepas pendedahan mengejutkan oleh Zahnita di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan penahanan tersebut, semalam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Lelaki terbabit akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman,” katanya memetik The Star online.
Kejadian itu mendapat perhatian apabila Zahnita, atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson memuat naik gambar wajahnya yang lebam dan mata yang hitam di Instagram.
Dalam hantaran tersebut, Zahnita berkata, dia tidak lagi mampu berdiam diri dan perlu mendedahkan perkara sebenar yang selama ini menjadi persoalan ramai tentang sebab dia sering memakai cermin mata hitam.
“Saya tidak mahu melakukan ini, tetapi saya terpaksa. Inilah sebab saya meninggalkan rumah lama saya dan sebab saya sering memakai cermin mata hitam,” katanya lagi.
Menurut sumber terdekat Zahnita, insiden pada pagi Isnin dipercayai menjadi kemuncak kepada keputusan Zahnita untuk tampil mendedahkan dakwaan keganasan rumah tangga yang dihadapinya.
“Ini bukan kali pertama berlaku, tetapi sebelum ini Zahnita memilih untuk berdiam diri.
“Ahli keluarganya sendiri tidak tahu mengenai perkara ini,” kata sumber yang enggan dikenali.
Sumber itu turut memaklumkan bahawa Zahnita dimaklumkan anak sulungnya telah dipanggil untuk membantu siasatan.
Zahnita kini risau untuk bertemu ketiga-tiga anaknya kerana hanya anak bongsu yang bersamanya selepas berpindah dua hari lalu.
“Kami berharap segala urusan Zahnita dipermudahkan,” kata sumber tersebut.
Zahnita pernah membintangi filem Kuliah Cinta, sebelum itu memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 2013, namun perkahwinannya yang bermula pada 2005 berjaya diselamatkan.
Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, Zasharayna, Zahlia dan Zayden.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |