
JIKA ibu bapa buntu mencari cara istimewa untuk menghabiskan masa hujung minggu bersama anak-anak, kunjungan ke Taman Haiwan Hussin Fauzi di Kuala Selangor mungkin satu pilihan yang tidak boleh dilepaskan.
Terletak di kawasan yang tenang dan dikelilingi keindahan alam semula jadi, taman ini menawarkan pengalaman mendekati pelbagai spesies haiwan dengan cara yang menyeronokkan dan bersifat mendidik.

Bayangkan wajah ceria si kecil ketika memberi makan kambing, memegang arnab yang gebu, menunggang kuda dan melihat kawanan burung di dalam sangkar, pasti mengujakan mereka.
Di sini, terdapat pelbagai jenis binatang peliharaan yang boleh dilihat secara dekat. Ia termasuklah burung unta, merak, rusa, kura-kura, unta, ular dan banyak lagi.
Malah haiwan yang sukar ditemui seperti rubah artik, meerkat dan kerbau balau juga boleh didapati di sini.

Selain daripada mencipta memori indah, aktiviti ini turut menggalakkan pembelajaran interaktif dan pemahaman yang mendalam tentang alam haiwan buat si kecil.
Salah seorang pengunjung cilik, Ahmad Zahin Mohd Asrul Khuzaimi memberitahu, dia seronok kerana dapat memberi makan haiwan dan berada hampir dengannya.

“Walaupun mula-mula rasa agak takut, tapi lama-lama rasa teruja melihat haiwan ini begitu jinak.
“Kami boleh memegang kambing, mengejar arnab di dalam sangkar, memberi makan unta dan rusa serta melihat burung berterbangan,” katanya.
Konsep yang diterapkan di taman haiwan tersebut secara tidak langsung boleh membantu meningkatkan keyakinan anak-anak terutama dalam berdepan haiwan yang mereka tidak pernah saksikan di depan mata.
Dalam pada melihat pelbagai kawanan haiwan, para pengunjung juga berpeluang untuk belajar teknik memanah dengan betul dan tepat pada sasaran melalui aktiviti yang disediakan.

Tidak ketinggalan terdapat juga tram untuk dinaiki seisi keluarga jika sudah penat berjalan kaki.
Bagi yang mahu mencipta kelainan pula, mereka boleh mencuba menunggang kenderaan ATV yang ada untuk meneroka keseluruhan taman haiwan ini.
Antara kemudahan lain termasuklah tandas awam, taman permainan mini, nursery bunga, gerai yang menjual makanan dan minuman, ruang makan yang dilengkapi meja dan kerusi serta surau untuk solat.

Apa yang lebih istimewa Taman Haiwan Hussin Fauzi ini sebenarnya dikendalikan oleh pengurusan Maahad Tahfiz Dar As-Thaqofah.
Ini bermakna seluruh pendapatan hasil daripada aktiviti lawatan pengunjung ke sini disalurkan terus kepada maahad tahfiz tersebut.
Dalam erti kata lain, jika berkunjung ke taman haiwan ini, secara tidak langsung pengunjung juga telah beramal dan menambah saham akhirat tanpa disedari. Insya-Allah.

Taman Haiwan Hussin Fauzi
Alamat: Batu 45, Kampung Teluk Penyamun, 45600 Kuala Selangor, Selangor
Waktu Operasi – Setiap hari (10 pagi – 6 petang)
Harga tiket: Kanak-kanak (RM7), dewasa (RM15), warga emas (RM7)
Telefon: 018-383 3267
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |