Berita Semasa

Kerjasama MINDEF-KPT tingkat tahap pendidikan, beri peluang kerjaya kedua untuk anggota ATM

KUALA LUMPUR – Sebagai langkah meningkatkan kualiti pendidikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan tiga bidang kolaborasi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif yang diperkenalkan termasuk Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), bertujuan untuk memastikan pengiktirafan bakat, ilmu dan pengalaman anggota dalam perkhidmatan dilakukan secara formal dan berstruktur.

Jelas beliau, menerusi inisiatif tersebut, ia dapat membuka peluang kerjaya kedua bagi anggota ATM selepas bersara dengan memiliki sekurang-kurangnya diploma berdasarkan skop tugas masing-masing.

“Alhamdulillah, Kerajaan telah meluluskan sebanyak RM3 juta bagi tujuan ini. Dan setakat ini, hasil perbincangan dengan UiTM, UTHM dan UPNM, kita sudah mengenal pasti 10 program diploma untuk ditawarkan kepada anggota-anggota kita yang sedang
dalam perkhidmatan.

“Inisiatif ini dikhususkan untuk anggota ATM yang telah berkhidmat lebih daripada 15 tahun. Kelayakan calon akan dinilai berdasarkan prestasi sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, sebelum bidang pengajian yang sesuai ditentukan untuk penganugerahan diploma oleh pihak universiti.

“Pada masa lalu, syarat untuk menjadi juruterbang jet pejuang hanyalah memiliki SPM. Namun, selepas tamat perkhidmatan, mereka sukar mendapatkan pekerjaan walaupun memiliki kemahiran tinggi kerana hanya berkelayakan SPM. Melalui program WBL ini, kami membantu mereka memperoleh diploma, menjadikan proses memohon pekerjaan lebih mudah selepas bersara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara MINDEF dan KPT di Wisma Pewira, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled turut menjelaskan bahawa Inisiatif Program Komuniti Tertumpu merupakan salah satu Projek Inovasi Sosial yang dilaksanakan di kem-kem ATM.

Jelas beliau, program itu bertujuan meneroka kaedah dan peluang untuk meningkatkan taraf ekonomi warganya melalui pemindahan ilmu daripada institusi pengajian tinggi (IPT).

“Pelaksanaan program ini mensasarkan penglibatan sejumlah 500 hingga 1000 peserta dari kalangan anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli BAKAT.

“Ia akan dijalankan secara berperingkat, dimulai dengan fasa rintis di kem-kem di negeri Selangor dan juga Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

“Di bawah program yang akan diselaraskan oleh Yayasan LTAT ini, sasaran kita adalah memberi peluang dan pendedahan kemahiran serta membantu usaha menjana pendapatan secara tersusun kepada isteri dan anak-anak warga ATM,” jelasnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button