
Banjir beransur pulih, mangsa di PPS berkurang -TPM
KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di seluruh negara menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan penurunan ketara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, jumlah PPS yang masih beroperasi kini berkurang sebanyak 13.69 peratus kepada 561 PPS, manakala jumlah keluarga terjejas menurun 8.7 peratus kepada 37,759 keluarga, setakat pukul 1 tengah hari tadi.
“Kelantan dan Terengganu, dua negeri paling teruk terjejas juga menunjukkan penurunan yang memberangsangkan. Di Kelantan, jumlah PPS berkurang sebanyak 11.07 peratus kepada 217 PPS, manakala keluarga terjejas menurun 9.57 peratus kepada 24,238 keluarga.
“Situasi di Terengganu turut mencatatkan perkembangan positif dengan PPS berkurang 16.25 peratus kepada 237 PPS dan keluarga terjejas menurun 6.14 peratus kepada 9,990 keluarga,” katanya melalui hantaran di media sosial.
Walaupun keadaan itu membawa sedikit kelegaan, Zahid mengingatkan semua pihak untuk terus berhati-hati dan mengutamakan keselamatan.
“Jangan sesekali bermain atau mendedahkan diri kepada air banjir, walaupun paras air semakin surut. Air banjir sering tercemar dan boleh menyebabkan risiko kesihatan seperti jangkitan kulit, penyakit bawaan air, atau serangan haiwan berbahaya,” katanya.
Beliau juga menggesa mangsa untuk menjaga kebersihan diri dan kawasan kediaman, terutamanya selepas kembali ke rumah masing-masing daripada PPS, serta terus mematuhi arahan pihak berkuasa.
Bagi mereka yang masih berada di PPS, Zahid menasihatkan agar terus bersabar, memberikan kerjasama kepada pasukan penyelamat, dan petugas yang membantu, sambil mendoakan keadaan musibah ini bertambah baik.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |