Anggota tentera ditemui lemas di hutan Royal Belum, seorang lagi masih hilang
GERIK – Salah seorang daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditemukan maut dipercayai akibat lemas sewaktu menjalankan operasi di hutan Royal Belum dekat sini.
Sementera itu, seorang lagi anggota yang mengikuti Operasi Kota Echo/Foxtrot bersama tujuh lagi anggota dilaporkan masih hilang akibat dihanyutkan arus deras.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kejadian berlaku pada pukul 6 petang Jumaat lalu ketika kumpulan anggota tentera berkenaan cuba menyeberang Sungai Merah di hutan Royal Belum.
Katanya, mangsa lemas dikenali Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin manakala seorang lagi yang belum ditemui dikenali Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi masing-masing berusia 20-an.
“Laporan kejadian itu diterima pada Isnin jam 8.56 pagi.
“Dua mangsa terbabit telah gagal menyeberangi sungai tersebut sebelum dihanyutkan arus yang deras.
“Penyelarasan operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan antara polis dan ATM,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, hasil operasi digerakkan menemui seorang daripada anggota terbabit.
“Mangsa meninggal dunia akibat lemas, usaha mencari seorang lagi mangsa hilang masih diteruskan,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune