Berita SemasaGaya HidupRencana

Universiti Islam Madinah : Satu-satunya universiti khas untuk lelaki di dunia

Oleh: Noor Fazrina Noor Kamal

PERTAMA kali penulis mendengar tentang sebuah universiti yang hanya mengambil pelajar lelaki sebagai penuntutnya. Bertalu persoalan dalam minda, tidak sabar rasanya hendak diajukan kepada dua wakil pelajar dari Malaysia yang mengiringi penulis bersama lima delegasi perwakilan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA).

Lawatan ini sebagai salah satu rangka program ibadah umrah dan ziarah pusat-pusat pengajian tinggi sekitar Madinah dan Jeddah, dari 13 hingga 25 November 2024. Ketibaan kami disambut mesra oleh Mohammad Arsraff Syahiran Adlan, 25, pelajar tahun akhir Kuliah Hadith dan Pengajian Islam dan Fathur Rahman Abd Karim, 22, pelajar tahun pertama dalam jurusan yang sama.

Tak kenal maka tak cinta, lawatan ke Universiti Islam Madinah (UIM) baru-baru ini telah mengubah persepsi penulis terhadap universiti tersebut.   Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi Islam yang terkemuka di mata dunia, ia juga sebuah tempat yang melahirkan cendekiawan-cendekiawan terkemuka yang menyumbang besar kepada perkembangan ilmu Islam.

UIM, yang terletak di tanah suci Madinah, merupakan sebuah institusi pendidikan yang penuh berkat, dikelilingi oleh masjid-masjid tempat beribadat dan berada dalam lingkungan yang sangat dekat dengan Masjid Nabawi.

Lokasinya di Tanah Haram menjadikan suasana di sini penuh dengan ketenangan dan keberkatan, memberikan peluang yang tidak ternilai untuk pelajar-pelajarnya menuntut ilmu, terutamanya dalam Bahasa Arab, hafazan Al-Quran serta pengajian hadis.

Delegasi perwakilan dari UTM dan MiSHA ke UIM dibawa melawat kemudahan UIM semasa program ibadah umrah dan ziarah pusat-pusat pengajian tinggi sekitar Madinah dan Jeddah dari 13 hingga 25 November lalu.

Seterusnya penulis di bawa melawat ke fakulti-fakulti utama yang ada di sini, yang pastinya Kuliah Hadis dan Pengajian Islam yang telah banyak melahirkan ulama-ulama besar dunia.

Malah Malaysia juga bertuah kerana memiliki wakil alumni bekas pelajar yang kini mencurah ilmu kepada perkembangan Islam di negara kita seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Hal Ehwal Agama Islam merangkap Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-bakri, ahli akademik dan agamawan Dr. Abdul Basit Abdul Rahman, ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis termuda, Dr. Kamilin Jamilin dan ahli Parlimen Marang, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Nama-nama ini tidak asing lagi dalam kalangan umat Islam di negara ini, malah tokoh-tokoh ini turut menjadi contoh bagi banyak generasi pelajar yang menuntut ilmu di sini.

Penulis dan delegasi turut dibawa meninjau Perpustakaan atau Maktabah UIM, yang terletak di pintu masuk sebelah kiri universiti. Sebaik melangkah, suasana tenang tidak terungkap dengan kata-kata, penulis hanya mampu mengucapkan zikir mengagumi kebesaran Allah yang telah memberi kesempatan penulis menjejakkan kaki di sebuah Gedung sarat ilmu para ilmuan Islam dari dulu hingga kini.

Di tingkat teratas maktabah tiga tingkat ini terdapat satu bilik khas yang sangat istimewa. Bilik ini menempatkan koleksi kitab-kitab peribadi Sheikh Soleh Ibn Abdullah Al Humaid, Imam Besar Masjidil Haram yang telah mewakafkan semua koleksi kitabnya kepada universiti ini.

Koleksi ini, yang kini menjadi sebuah perpustakaan mini, memberi peluang kepada para pelajar dan penyelidik untuk memanfaatkan ilmu yang terkandung dalam buku-buku tersebut.

Penulis berasa amat teruja apabila dapat melihat secara dekat warisan ilmu yang diwakafkan untuk manfaat umat Islam sejagat. Bukan itu sahaja, di tingkat sama juga terdapat mini muzium yang menempatkan hadis-hadis sebenar tulisan tangan Riwayat sahih Bukhari dan Muslim.

Sebahagian daripada manuskrip yang dipelihara pihak UIM.

Terdapat juga kitab-kitab lama berkurun usianya yang diletakkan dalam kaca khas untuk tatapan pengunjung. Sejarah Universiti Madinah yang dibina pada tahun 1961 ini bermula dengan visi yang jelas, iaitu untuk menghimpunkan anak-anak Islam dari seluruh dunia di bumi Madinah yang suci.

Sebelum universiti ini menerima pelajar, pihak pengurusan universiti terlebih dahulu mengumpul alim ulama dari pelbagai negara untuk menggubal silibus pengajian yang terbaik. Tujuan utama adalah supaya para pelajar yang menuntut di sini dapat pulang ke negara masing-masing dan menyebarkan dakwah dengan menggunakan manhaj yang sama, selaras dengan ajaran Islam yang sebenar.

Menurut maklumat yang diterima semasa lawatan, terdapat lebih 20,000 pelajar antarabangsa yang sedang menuntut di Universiti Madinah dan seramai 200 pelajar dari Malaysia sedang mengikuti pengajian di sini pada waktu ini.

Setiap tahun, hanya 40 hingga 50 orang pelajar Malaysia sahaja yang diterima untuk melanjutkan pengajian di sini. Bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti ini, proses permohonan adalah melalui UPU dan calon hendaklah mempunyai sijil tinggi agama (STAM) yang cemerlang tanpa melalui temuduga.

Ia adalah satu proses yang cukup kompetitif, memandangkan permintaan untuk belajar di Universiti Madinah adalah sangat tinggi.

Di Universiti Islam Madinah ini, penulis melihat bukan sahaja semangat belajar yang tinggi di kalangan pelajar, tetapi juga rasa cinta yang mendalam terhadap ilmu agama. Para pelajar bukan sahaja menerima pendidikan akademik yang berkualiti, tetapi mereka juga dilatih untuk menjadi duta Islam yang berwibawa, dengan mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.

Dalam suasana yang penuh berkat ini, penulis berasa begitu terinspirasi dan berharap agar pengalaman ini dapat membuka mata lebih ramai umat Islam, terutamanya di Malaysia, untuk mengambil peluang melanjutkan pengajian di universiti tersohor ini.

Rutin Seharian yang Penuh Disiplin

Penulis juga telah diberi kesempatan berkongsi rutin harian dua orang pelajar tahfiz dari Malaysia yang mengiringi lawatan ini. Mohammad Arsraff dan Fathur Rahman yang masing-masing berasal dari Seberang Takir, Terengganu dan Pulai Chondong, Kelantan, mengakui sangat bertuah kerana terpilih melanjutkan Pelajaran di UIM.

Menurut mereka, perjalanan mereka untuk menjadi hafiz bukan hanya tentang menghafal ayat-ayat suci Al-Quran, tetapi juga tentang disiplin yang tinggi dan mengamalkan gaya hidup yang murni, menjaga pandangan mata serta menjauhkan diri daripada maksiat.

Dengan kemudahan yang ada di universiti, mereka dapat belajar dan menghafal dengan lebih fokus, sambil menikmati kedekatannya dengan Masjid Nabawi, yang memberi mereka motivasi dan keberkatan setiap hari. Mereka telah mendapat tajaan sepenuhnya oleh Kerajaan Arab Saudi tanpa perlu membayar yuran dan hanya perlu membayar duit perbelanjaan makanan sahaja iaitu sebanyak SRA150 sahaja sebulan.

Mohammad Arsraff Syahiran Adlan (kiri) bersama Fathur Rahman Abd Karim

Rutin harian Ashraf dan Faturrahman dimulakan seawal jam 4 pagi. Mereka bangun untuk melaksanakan solat tahajud, taubat, solat hajat, dan witir, sebuah permulaan yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Selepas itu, mereka memulakan hafazan Al-Quran sehingga waktu Subuh. Proses hafazan mereka ini dilakukan dengan penuh kesungguhan, di mana mereka mengulang-ulang ayat-ayat yang belum dihafal dan menyemak kembali hafazan mereka.

Usai solat Subuh berjemaah di masjid, mereka meneruskan hafazan mereka, menyambungnya sehingga pukul 10 pagi. Pada waktu ini, mereka akan mula mengikuti kelas-kelas akademik di universiti, yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga petang.

Kelas-kelas ini memberikan mereka pengetahuan tambahan, selain daripada fokus utama mereka dalam menghafal Al-Quran. Selepas solat Maghrib, rutin mereka disambung semula dengan menghafal Al-Quran hingga waktu Isyak.

Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat berjemaah di Masjid Nabawi, sebuah pengalaman yang sangat istimewa, sambil meluangkan masa untuk tasmik—proses mendengar hafazan mereka dari guru atau rakan-rakan. Menjelang malam, selepas solat Isyak, mereka akan kembali ke tempat tinggal, mengulangi hafazan mereka sekali lagi sebelum tidur pada jam 10 malam, menutup hari mereka dengan penuh ketenangan.

Kelebihan Lokasi yang Penuh Keberkatan

Salah satu kelebihan besar yang dimiliki oleh pelajar-pelajar di Universiti Madinah ialah kedudukan universiti yang berdekatan dengan Masjid Nabawi. Lokasi ini memudahkan mereka untuk menguasai Bahasa Arab, menghafal Al-Quran, kerana mereka sentiasa dikelilingi oleh suasana ibadah dan keberkatan
yang tidak ternilai.

Tiada gangguan luar yang boleh mengalih perhatian mereka daripada fokus utama mereka—menghafal dan mengamalkan ajaran Al-Quran. Tambahan pula, universiti ini menyediakan kemudahan bas percuma yang membawa pelajar-pelajar ke Masjid Nabawi, yang membolehkan mereka menunaikan solat berjemaah dengan mudah.

Jika ingin menaiki teksi, tambangnya hanya SRA 8 sahaja. Kesan daripada suasana ibadah yang berterusan ini amat membantu dalam mempercepatkan proses hafazan mereka. Mereka juga diberikan permit haji oleh pihak Kerajaan Arab Saudi bagi menunaikan ibadat haji serta mengambil kesempatan untuk turun ke Masjidil Haram bagi menunaikan umrah bila berkelapangan. Aktiviti Selain Belajar Persepsi penulis tentang aktiviti pelajar-pelajat di universiti ini hanya tertumpu kepada pembelajaran, hafazan dan beribadat semata-mata rupanya meleset sama sekali.

Ternyata kehidupan di universiti ini sama juga pengisiannya dengan universiti-universiti lain, malah ternyata mereka lebih hebat lagi. Oleh kerana terdapat lebih dari 172 negara yang menghantar pelajar-pelajar mereka di sini, maka pihak universiti telah menganjurkan kejohanan tahunan acara bolasepak yang mereka namakan sebagai “World Cup” dan dianjurkan serta dibiayai sepenuhnya oleh pihak universiti.

Mereka juga ada menganjurkan pertandingan kebudayaan di mana kesemua pelajar dari pelbagai negara akan mempersembahkan upacara kebudayaan mereka dan pelajar-pelajar dapat mempelajari persembahan kebudayaan yang unik dari pelbagai negara.

Delegasi bergambar depan Fakulti Kuliah Pengajian Islam dan Hadis, UIM.

Pada tahun ini, Faturrahman telah menjadi tonggak utama mewakili Malaysia dalam persediaan pertandingan kebudayaan ini. Tips Menghafal Al-Quran Bagi Ashraf dan Faturrahman, salah satu petua penting dalam menghafal Al-Quran ialah menjaga kebersihan hati dan menjauhi segala bentuk maksiat, termasuk maksiat mata.

Mereka mengelakkan diri daripada menonton televisyen atau filem yang menampakkan aurat. Ini adalah salah satu prinsip utama yang mereka amalkan agar hati mereka tetap bersih dan terbuka untuk menerima ilmu Allah.

Selain itu, mereka menekankan kepentingan mengulang-ulang hafazan. Kaedah mengulang-ulang ayatayat yang telah dihafal membantu memperkukuh hafazan mereka agar tidak mudah lupa. Mereka juga percaya bahawa untuk menghafal, seseorang perlu bangun seawal mungkin, terutama sebelum Subuh, ketika waktu penuh keberkatan dan tenang.

Secara keseluruhan, lawatan penulis ke Universiti Islam Madinah ini telah memberikan pengalaman yang sangat berharga. Selain daripada peluang melihat sendiri bagaimana pendidikan Islam diajarkan dengan penuh teliti dan mendalam, penulis juga berpeluang untuk mendalami sejarah panjang perjuangan
pendidikan Islam di Madinah.

Universiti ini terus menjadi bukti bahawa ilmu adalah kunci utama dalam membina umat yang berdaya saing dan berilmu. Penulis berharap pengalaman ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai generasi muda untuk menuntut ilmu di tempat yang penuh keberkatan ini.

Noor Fazrina Noor Kamal di depan Masjid Nabawi.

Kesempatan berbual bersama dua orang pelajar tahfiz ini juga telah banyak memberi dimensi baru kepada penulis tentang ilmu hafazan Al-Quran. Dengan semangat dan disiplin yang tinggi, mereka terus berusaha menjadi hafiz Al-Quran yang bukan sahaja menghafal teks, tetapi juga mengamalkan ajaran-ajaran yang
terkandung dalamnya.

Seperti pepatah berkata, “Al-Quran bukan hanya untuk dihafal, tetapi untuk diamalkan.” Inilah perjalanan hidup Ashraf dan Faturrahman di Universiti Madinah, yang bukan sahaja mengubah mereka, tetapi juga memberi manfaat kepada umat Islam seluruh dunia.

Show More

Related Articles

Back to top button