Berita Semasa

Rumah musnah akibat banjir, peniaga rugi RM200,000

KOTA BHARU – Seorang peniaga di Kampung Tujuh, Tumpat luluh hati apabila rumahnya musnah akibat arus deras banjir dalam kejadian malam kelmarin menyebabkan kerugian dianggarkan RM200,000.

Mohd Safian Abd Kadir berkata, kediaman yang dibinanya tiga tahun lalu hasil simpanan selama 20 tahun itu rosak teruk dan hampir roboh.

“Rumah itu saya bina dengan titik peluh sendiri daripada hasil perniagaan kecil-kecilan. Saya dan isteri hanya mampu menangis melihatnya musnah dalam sekelip mata. Namun, saya percaya ada hikmah di sebalik kejadian ini,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakannya pada pukul 11 malam yang memaklumkan rumahnya telah musnah.

Mohd Safian bersyukur isteri Mariana Muda dan lima anaknya, termasuk anak bongsu Mohd Izham Rifqi yang juga orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down tiada di rumah kerana mereka menumpang di rumah ibu mentua.

“Kami sekeluarga tinggal di rumah ibu mentua sementara musim banjir kerana bimbang keselamatan. Walaupun rumah ibu mentua dinaiki air sehingga paras 0.2 meter, kami masih boleh tidur di tempat tinggi,” katanya lagi.

Mohd Safian berkata, banjir kali ini membawa arus yang amat deras mengakibatkan kemusnahan rumahnya.

“Selama ini kawasan rumah itu tidak pernah dilanda banjir. Saya berharap dapat membina semula rumah itu, tetapi buat masa ini saya tidak mempunyai modal kerana hanya berniaga kecil-kecilan,” katanya lagi.

Beliau kini berharap ada pihak yang sudi membantu agar dia dapat memulakan kehidupan baru selepas musibah yang melanda.

Show More

Related Articles

Back to top button